
MALAM Disember 2023 di Dewan Bandaraya Pondok Indah, Jakarta, Indonesia bukan lagi sekadar malam pertunjukan fesyen.
Para penonton Minggu Fesyen Jakarta termasuk selebriti dan tokoh terkenal dikejutkan dengan deretan sepanduk protes yang memaparkan mesej seperti 'Menolak Punah', 'Kedaulatan Sandang #freetrade' dan 'Pukul Mundur Krisis Iklim'.
Aksi berani itu bukan sekadar protes biasa, ia merupakan sebahagian daripada pertunjukan dikendalikan oleh pengasas dan pengarah kreatif Sejauh Mata Memandang, Chitra Subyakto.
BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code'
Pertunjukan fesyen Sejauh Mata Memandang bukan sahaja menampilkan koleksi terbaharu, malah disertai dengan sepanduk berani yang dipamerkan sepanjang laluan peragaan. — Agensi
“Gabungan mesej sosial dalam pertunjukan fesyen sudah berlaku di luar negara. Kini tiba masanya kita lakukan di sini.
“Kami mahu gunakan pentas fesyen untuk mendidik dan menyebarkan mesej penting demi masa depan bumi,” kata Subyakto yang turut merahsiakan rancangan itu daripada pihak penganjur.
Sejauh Mata Memandang (Sejauh), jenama yang diasaskan Subyakto satu dekad lalu, kini menjadi antara pelopor fesyen bersih di Indonesia.
Dari pengolahan grafik ayam jantan klasik Indonesia menjadi motif kontemporari hingga kepada koleksi bercirikan budaya lokal seperti kebaya moden.
Sejauh memikat hati ramai termasuk nama besar seperti Dian Sastrowardoyo dan Andra Matin.
Namun pada 2018, Subyakto membuat keputusan drastik. Selepas mendalami isu perubahan iklim dan impak negatif industri fesyen, beliau hampir menamatkan operasi jenamanya.
Namun semangat untuk mendidik masyarakat memberi nafas baharu kepada Sejauh dan menjadikannya sebagai alat perubahan.
“Kami mula hasilkan koleksi daripada benang kitar semula, guna pewarna semula jadi dan minimumkan sisa pengeluaran.
“Saya percaya tiada jenama yang boleh mengaku produknya 100 peratus lestari tapi kita boleh pilih untuk lebih bertanggungjawab,” jelasnya.
Perubahan ketara mula kelihatan pada 2019 apabila Sejauh melancarkan koleksi Laut Kita, diiringi pameran seni dengan mesej kuat tentang pencemaran laut.
Di Plaza Indonesia, mereka menampilkan pemasangan plastik terbuang, arca paus dan rakaman penyanyi Tulus yang memberi amaran tentang krisis plastik.
“Saya terkejut pusat beli-belah mewah itu terbuka untuk projek sebegini, tapi ia menunjukkan semakin ramai sedar akan pentingnya perubahan,” kata beliau.
Koleksi Ayam menampilkan grafik ayam klasik Indonesia pada pakaian harian yang longgar. — Agensi
Fasa baharu itu turut menyaksikan kerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan artisan tempatan.
Projek seperti Studio Vitarlenology oleh Tarlen Handayani menghasilkan produk kitar semula daripada lebihan fabrik Sejauh, sambil mendidik orang ramai tentang kesan penggunaan.
Kolaborasi tersebut berlandaskan kepercayaan, saling hormat dan matlamat bersama.
Menginjak 2024, Sejauh mengambil satu lagi langkah besar dengan pelancaran Studio Sejauh, platform sumber terbuka yang menghubungkan penggiat industri fesyen kepada vendor, artisan dan teknologi yang lestari.
Antara rakan mereka termasuk Bidadariku di Lombok yang menanam kapas secara mesra alam dan EcoTouch di Bandung yang memproses sisa tekstil.
“Banyak jenama nak jadi lebih lestari, tapi tak tahu nak bermula dari mana. Dengan Studio Sejauh, kami kongsi maklumat yang dulu hanya disimpan sesetengah pihak.
"Ini cara kami galakkan perubahan sistemik,” ujar Subyakto.
Beliau bagaimanapun berdepan cabaran, dengan betapa penghasilan kapas secara manual masih membelenggu petani di Tuban, Jawa Timur.
Namun dengan bantuan rakan seperti Sekar Kawung, mereka berjaya mendapatkan dana membeli mesin yang kini membantu petani hasilkan 100 kilogram (kg) kapas sehari.
Ia merupakan lonjakan besar berbanding hanya 1kg sebelum ini.
“Gabungan teknologi dan ilmu tradisional adalah kunci. Kalau kita boleh buat pengeluaran lebih efisien, kos pakaian lestari akan turun dan lebih ramai mampu milikinya,” tambahnya.
Sebagai peneraju gerakan fesyen bersih di Indonesia, Subyakto menyeru agar lebih ramai mencontohi nilai di sebalik Sejauh, bukan sekadar reka bentuknya.
Ujar beliau, jika mahu tiru Sejauh, jangan hanya salin gaya, sebaliknya tiru juga semangat dan komitmennya.
“Bayangkan jika kita benar-benar boleh berdikari dalam penghasilan pakaian daripada benih kapas hingga ke baju.
"Semuanya dari tanah air sendiri, oleh tangan rakyat kita,” ungkapnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram