
LIMA belas tahun lalu, seorang petani, Nivrutti Shinde, 93, berjanji kepada isterinya, Shantabai untuk membelikan emas sebagai tanda kasih.
Namun, janji itu bukan mudah untuk ditunaikan. Pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Ambhora Jahagir di daerah Jalna, India itu hidup serba sederhana.
Seluruh pendapatan hasil bertani hanya cukup untuk memenuhi keperluan harian.
BACA LAGI: Umur tak halang pasangan warga emas tunggang superbike kelilingi Malaysia
Impian untuk memiliki sebarang bentuk emas kekal menjadi angan-angan yang sukar digapai selama bertahun-tahun.
Namun baru-baru ini, janji lama itu akhirnya ditunaikan Shinde selepas beliau membeli kalung mangalsutra untuk dihadiahkan buat si isteri yang setia berdiri di sisi.
Ketika dalam perjalanan ke Pandharpur sempena perayaan keagamaan Ashadhi Ekadashi, salah satu ziarah suci dalam tradisi Hindu, Shinde meminta isterinya memilih seutas kalung mangalsutra ketika mereka singgah di sebuah kedai emas.
Wang yang sempat dikumpulnya dalam kepingan not kecil dan duit syiling dikeluarkan perlahan-lahan daripada beg kain dan poket pakaiannya, berjumlah Rs1,120 (RM55).
Beliau berharap jumlah itu mencukupi untuk membeli seutas rantai emas buat isterinya.
Pada awalnya, staf kedai menyangka pasangan berpenampilan sederhana itu memerlukan bantuan kewangan.
Namun suasana berubah apabila Shinde dengan tenang menyatakan niatnya membeli rantai suci.
Tersentuh dengan keikhlasan pasangan warga emas itu, pemilik kedai, Nilesh Khivansara enggan menerima bayaran penuh.
“Lelaki tersebut menyerahkan RM55 kepada saya, menyatakan hasrat membeli mangalsutra untuk isterinya.
"Saya sangat terharu dan hanya ambil Rs20 (10 sen) sebagai tanda simbolik dan menyerahkan mangalsutra berkenaan kepada mereka,” ujarnya.
Penduduk tempatan menyifatkan pasangan itu sebagai simbol cinta sejati yang tidak luntur dimamah usia.
Meskipun mempunyai seorang anak lelaki, mereka banyak bergantung antara satu sama lain dan dibantu sesekali oleh orang ramai yang tersentuh melihat keakraban tersebut.
Untuk rekod, kalung Mangalsutra merupakan rantai leher tradisional India yang dipakai oleh wanita sudah berkahwin.
Ia adalah simbol perkahwinan dan dianggap sebagai ikatan suci antara dua orang.
Kalung itu biasanya diperbuat daripada emas atau perak dan dihiasi dengan batu permata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram