
PERJALANAN menjadi ibu bapa, terutamanya dalam fasa awal membesarkan anak kecil bukanlah sesuatu yang mudah.
Menguruskan bayi atau kanak-kanak kecil menuntut bukan sahaja tenaga fizikal, malah ketahanan emosi dan mental yang tinggi.
Proses adaptasi sebegitu boleh memberi tekanan besar, terutama apabila kurangnya sistem sokongan atau rehat mencukupi.
Itulah realiti yang dikongsikan seorang wanita di platform X (Twitter) baru-baru ini, hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Dalam perkongsian itu, wanita tersebut meluahkan rasa penat yang melampau ketika menjaga anaknya yang berusia setahun enam bulan.
Apatah lagi dalam keadaan suaminya yang bekerja di luar kawasan.
Tangkap layar perkongsian wanita berkenaan di laman X.
Keletihan dialami mendorong wsanita itu bertindak mencampurkan ubat batuk ke dalam susu anaknya.
“Aku campur susu anak dengan ubat batuk, aku penat sangat hari ini. Anak aku jenis mengempeng (keadaan bayi menghisap puting untuk mendapatkan ketenangan).
"(Anak) tidur sekali saja itu pun sejam, malam dia kuat terkejut,” tulisnya.
Wanita berkenaan juga mengakui dirinya sudah terlalu letih hingga mengalami lingkaran gelap di bawah mata.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial, dengan pelbagai reaksi yang mencerminkan kebimbangan dan empati terhadap beban emosi serta fizikal ditanggung golongan ibu.
Rata-rata menyarankan agar ibu-ibu yang terlalu letih mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan pengasuh bagi memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat.
“Jika mak-mak mampu, kalau rasa penat dan perlu berehat, tolong upah pengasuh yang boleh datang rumah. Saya rasa ia sangat membantu,” tulis pengguna bernama @ztyyazmi.
Dalam perkembangan sama, pakar kanak-kanak mengingatkan bahawa ubat batuk tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak di bawah usia dua tahun melainkan atas nasihat doktor, kerana boleh mendatangkan kesan sampingan serius.
Amalan itu, yang kadangkala dilakukan ibu bapa kerana terlalu penat menguruskan anak kecil yang sukar tidur atau kerap terjaga pada waktu malam, mendapat perhatian baru-baru ini selepas tular satu pengakuan dalam media sosial oleh seorang ibu yang mengaku mencampur ubat batuk dalam susu anaknya yang berusia setahun enam bulan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak menyarankan pemberian ubat batuk kepada bayi bawah dua tahun.
Kesan kesihatan yang bahaya:
1) Sistem badan bayi belum matang untuk memproses bahan kimia dalam ubat batuk.
2) Risiko keracunan ubat jika dos tidak tepat.
3) Tindak balas alahan seperti ruam, muntah atau kesukaran bernafas.
5) Boleh menyebabkan sawan, mengantuk melampau atau dalam kes tertentu, kematian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram