Buli, penderaan seksual didedah antara 'dosa besar' sekolah agama seluruh Indonesia


  • Maya
  • Rabu, 25 Jun 2025

Tiga isu utama membelenggu pesantren perlu dibanteras demi menjaga martabat institusi yang menjadi benteng pendidikan Islam di Indonesia. — Agensi

KETUA Umum Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Muhaimin Iskandar memberi peringatan tegas berhubung tiga perkara disifatkan sebagai 'dosa besar' yang masih berlaku di beberapa pondok pesantren di Indonesia.

Muhaimin berkata, tiga isu utama tersebut perlu segera dibanteras demi menjaga martabat institusi pondok pesantren yang selama ini menjadi benteng pendidikan Islam di tanah air.

“Ada tiga dosa besar yang tidak boleh berlaku di pondok pesantren. Dosa pertama adalah buli,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Transformasi Pesantren yang berlangsung di Jakarta, pada Selasa.

BACA LAGI: KPM ambil tindakan tegas guru terlibat salah laku seksual, ada 4 tip penting boleh ikuti jika anda jadi mangsa

BACA LAGI: Pendidikan seksual bukan tanggungjawab guru semata-mata, didikan ibu bapa benteng pertama cegah HIV

Cak Imin berkata, buli dalam kalangan pelajar merupakan antara bentuk salah laku yang tidak boleh dipandang ringan. — Agensi

Menurut beliau, di sebalik kewujudan lebih 39,000 pondok pesantren di seluruh Indonesia, masih wujud sebilangan kecil institusi yang digelarnya sebagai 'pesantren palsu'.

Ujarnya, ia sekali gus merosakkan imej mulia pesantren sebenar.

Muhaimin atau lebih dikenali sebagai Cak Imin menjelaskan, buli dalam kalangan pelajar merupakan antara bentuk salah laku yang tidak boleh dipandang ringan.

“Buli adalah perbuatan memukul antara satu sama lain sesama pelajar. Ini mencemarkan nama baik pesantren,” tegas beliau.

Selain buli, keganasan seksual turut disebut sebagai dosa besar kedua yang amat serius dan tidak boleh ditoleransi.

Jelasnya, beliau tidak akan berkompromi dengan kes keganasan seksual yang berlaku di pesantren. 

"Ini mesti dihentikan dan dikenakan tindakan,” katanya sambil menekankan keperluan perlindungan terhadap pelajar.

Beliau menambah, sikap tidak bertoleransi pula merupakan dosa ketiga, yang juga musuh utama dalam sistem pendidikan Islam.

“Pesantren sepatutnya menjadi tempat menyemai nilai-nilai inklusif, terbuka dan saling menghormati perbezaan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar semua pondok pesantren menjaga integriti institusi mereka dengan memastikan ketiga-tiga amalan tersebut tidak berlaku, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

Persidangan yang bertemakan Sekolah Pesantren Berkelas Menuju Indonesia Emas: Menyatukan Tradisi, Inovasi dan Kemerdekaan itu turut dihadiri tokoh penting seperti Pengerusi Majlis Syura Dewan Pengurus Pusat PKB, Ma'ruf Amin serta Menteri Agama, Nasaruddin Umar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram