
GOLONGAN muda di Malaysia semakin terdedah kepada risiko jangkitan virus kurang imun (HIV), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.
Menerusi data daripada Majlis Kaunseling AIDS Malaysia, sebanyak 44 peratus kes baharu HIV melibatkan individu berumur 20 hingga 29 tahun, manakala empat peratus pula melibatkan pelajar sekolah berumur 13 hingga 19 tahun.
Sebagai langkah menangani isu ini, kerajaan meningkatkan masa pembelajaran pendidikan kesihatan di bawah Kurikulum Sekolah 2027.
BACA LAGI : [VIDEO] Ditangkap sekembali tunai umrah, akauntan penghidap HIV tekad diri bebas dadah
BACA LAGI : Bukan mudah urus klien HIV, perlu sensitif dan bermain emosi — Pengarah Puspen
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam laporan media sebelum ini menjelaskan bahawa kurikulum yang diajar kepada murid Tahap 1 dan 2 bertujuan memberikan pengetahuan asas dan kemahiran psikososial yang dapat memperkasakan murid untuk membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan seharian.
Untuk rekod, sejak 1986, lebih 135,000 kes HIV direkodkan di Malaysia.
Maka, timbul persoalan apakah langkah tambahan yang diperlukan untuk memastikan inisiatif pendidikan ini benar-benar berkesan?
Dr. Rabiatul Badariah
Dalam satu sesi wawancara khas, sukarelawan PT Foundation dan aktivis HIV, Dr. Rabiatul Badariah Bazir Ahmad menjelaskan peningkatan kes HIV dalam kalangan belia disebabkan oleh kurangnya pendidikan kesihatan seksual dan stigma masyarakat terhadap golongan berisiko.
"Masih ramai remaja tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai HIV, kesihatan seksual serta akses kepada bantuan.
"Stigma dan diskriminasi menjadikan ramai takut untuk mendapatkan ujian atau rawatan," katanya menerusi rancangan audio siar (podcast) di sebuah rancangan BFM Radio baru-baru ini .
Jelas beliau lagi, faktor seperti penggunaan aplikasi media sosial dan budaya hidup bebas turut menyumbang kepada peningkatan risiko jangkitan dalam kalangan belia berumur 20 hingga 39 tahun.
Penggunaan aplikasi media sosial yang tidak terkawal turut menyumbang kepada peningkatan risiko jangkitan dalam kalangan belia berumur 20 hingga 39 tahun. — Gambar Hiasan/Janaan AI
Mengulas dasar kerajaan dalam pencegahan HIV, beliau menjelaskan meskipun Malaysia merupakan negara pertama di rantau Pasifik Barat WHO yang melaksanakan pencegahan HIV dan sifilis sejak tahun 2018.
Namun, ujarnya, usaha yang ada masih belum mencukupi.
"Kita perlukan polisi yang lebih menyeluruh bukan sahaja dalam sektor kesihatan, tetapi juga dalam sistem pendidikan dan tempat kerja.
"Usaha pencegahan mesti lebih inklusif dan menyasarkan pengurangan stigma dalam masyarakat," katanya lagi.
Mengenai pendekatan pendidikan kesihatan di sekolah, Dr. Rabiatul berkata, modul pendidikan seksual masih bersifat tidak seimbang dan banyak tertumpu kepada pelajar perempuan, manakala isu berkaitan pelajar lelaki kurang diberi perhatian.
"Ramai guru tidak selesa atau tidak terlatih untuk mengajar topik ini. Malah, kebanyakan sesi pendidikan seksual di sekolah hanya berlangsung dalam tempoh dua jam dan bersifat sekali lalu. Ia tidak cukup untuk memberi impak jangka panjang," ujarnya.
Peningkatan kes HIV dalam kalangan belia disebabkan oleh kurangnya pendidikan kesihatan seksual dan stigma masyarakat terhadap golongan berisiko. — Gambar Hiasan
Dr. Rabiatul juga menekankan peranan ibu bapa dan institusi agama dalam memberikan sokongan kepada pendidikan kesihatan seksual.
Beliau menyifatkan salah faham dalam kalangan ibu bapa terhadap pendidikan seksual yang sering dikaitkan dengan galakan untuk melakukan hubungan seks menjadi penghalang utama.
"Di sekolah kerajaan, kami menerima sokongan yang baik daripada pihak kementerian dan sekolah. Namun, cabaran lebih besar berlaku di sekolah swasta, kerana pandangan ibu bapa lebih konservatif.
"Pendidikan seksual sebenarnya berlandaskan rangka kerja UNESCO yang meliputi lapan komponen, dan hanya satu daripadanya berkaitan dengan seks.
"Selebihnya adalah tentang keselamatan diri, kemahiran berunding, serta membuat keputusan bijak dalam situasi berisiko," katanya.
Ibu bapa memainkan tanggungjawab penting bagi memperjelas kepentingan pendidikan seksual sebagai satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja. — Gambar Hiasan/Janaan AI
Beliau turut menggesa agar lebih banyak sesi penerangan diadakan melibatkan ibu bapa, guru serta pemimpin agama bagi memperjelas kepentingan pendidikan seksual sebagai satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja.
Dalam pada itu, Dr. Rabiatul juga menyarankan agar pendekatan pendidikan bermula dari rumah dengan peranan aktif ibu bapa sebagai pendidik pertama.
"Kita ada saluran seperti persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Di sinilah ruang terbaik untuk menjelaskan isi kandungan pendidikan seksual dan bagaimana ibu bapa boleh menyokong anak-anak.
"Banyak ibu bapa mengaku tidak tahu cara untuk mula berbincang, kerana merasa malu atau kurang ilmu. Hakikatnya, anak-anak hari ini guna Google untuk cari jawapan.
"Jadi, ibu bapa perlu buat usaha untuk belajar. Banyak bahan dalam talian, termasuk video pendek yang kami terbitkan di Instagram, bertujuan membantu anak-anak dan ibu bapa memulakan perbualan.
"Ia bukan sekadar bercakap, tetapi membina kepercayaan dan membuang rasa tabu," katanya.
Menutup bicara, Dr. Rabiatul menegaskan bahawa untuk mengurangkan jangkitan HIV dalam kalangan generasi muda, perbualan terbuka antara anak, ibu bapa dan komuniti perlu dimulakan sekarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram