
POLIS sedang menyiasat kejadian buli membabitkan sekumpulan pelajar perempuan di sebuah sekolah menegah di Meru dekat Klang, Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.53 tengah hari selepas rakaman video insiden tersebut tular di media sosial pada Sabtu.
"Semakan mendapati video berkenaan dimuat naik di aplikasi Facebook dan memaparkan aksi pergaduhan yang berlaku di dalam tandas sekolah, melibatkan pelajar perempuan dari sekolah sama.
BACA LAGI : 'Orang' ke-3, faktor ekonomi antara punca pertikaian tuntutan harta makin meningkat
"Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
"Polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
"Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," tegasnya.
Vijaya Rao turut menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau membuat andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Sebarang tindakan yang menggugat ketenteraman awam akan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-8183519 bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram