
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana guru yang terlibat dalam kes salah laku seksual.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati bersalah.
Menurutnya, kementerian akan menyiasat secara menyeluruh berhubung kes seorang guru lelaki yang disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan guru wanita.
BACA LAGI: Polis KL siasat dakwaan gangguan seksual anggota terhadap wanita
BACA LAGI: Lebih 1,000 lelaki mengadu kena gangguan seksual
Fadhlina menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati bersalah.
“Kami sedang menjalankan siasatan, namun seperti yang saya tekankan sebelum ini, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya kesalahan seksual,” katanya pada Jumaat.
Pada Rabu, media melaporkan suspek telah ditahan pihak polis selepas laporan dibuat dan kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mangsa turut mendakwa lelaki berusia 32 tahun itu berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah yang sama.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh dan berpandukan garis panduan serta peraturan sedia ada.
“Saya selalu sebut, you touch, you go. Sesiapa yang terbukti melakukan kesalahan, tidak akan dilindungi,” katanya.
Selain institusi pendidikan, isu gangguan seksual juga semakin banyak dilaporkan berlaku sama ada di tempat kerja mahupun ruang awam.
Justeru, wanita perlu bersedia dan tahu langkah-langkah yang wajar diambil jika berdepan situasi sebegini.
Berikut Majoriti senaraikan empat tip penting yang boleh dijadikan panduan kepada wanita apabila menjadi mangsa gangguan seksual:
Jika berlaku gangguan seksual di tempat kerja, majikan wajib mengambil tindakan sewajarnya menurut akta kerja dan polisi syarikat.
1) Jangan diam
Langkah pertama adalah dengan menyatakan secara jelas bahawa tingkah laku itu tidak boleh diterima.
Jika selamat untuk berbuat demikian, mangsa digalakkan menegur pelaku secara terus, sama ada dengan berkata "tolong berhenti, ini tak wajar" atau “kelakuan awak tidak sesuai”.
Menunjukkan ketegasan dari awal boleh mencegah pelaku daripada terus bertindak lebih jauh.
2) Kumpul bukti
Jika gangguan berulang atau berbentuk verbal, fizikal atau melalui mesej, catat segala maklumat penting seperti tarikh, masa, lokasi, saksi dan jenis gangguan yang berlaku.
Simpan tangkap layar mesej atau rakaman suara jika ada.
Bukti tersebut sangat penting untuk melaporkan kes kepada pihak berkuasa dan memperkukuh tindakan undang-undang.
3) Dapatkan sokongan
Jangan pendam trauma seorang diri. Berbincanglah dengan individu yang dipercayai seperti rakan, keluarga atau kaunselor.
Sokongan emosi sangat penting untuk membantu mangsa menghadapi tekanan akibat gangguan tersebut.
Terdapat juga organisasi dan talian bantuan seperti Talian Kasih 15999, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Tenaganita yang bersedia membantu mangsa dengan khidmat nasihat dan perlindungan.
4) Lapor kepada pihak berkuasa
Wanita yang menjadi mangsa digalakkan untuk melaporkan insiden kepada pihak atasan, polis atau jabatan sumber manusia, bergantung pada lokasi kejadian.
Jika berlaku di tempat kerja, majikan wajib mengambil tindakan sewajarnya menurut akta kerja dan polisi syarikat.
Sekiranya berlaku di tempat awam, laporan polis boleh dibuat untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan Seksyen 509 atau Seksyen 354. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram