[VIDEO] Trend ‘Yes You Can’ TikTok taktik 'grooming' halus, ibu bapa harus waspada


  • Sihat
  • Isnin, 16 Jun 2025

Trend Tik Tok 'Yes You Can' mempunyai mesej tersembunyi di sebaliknya berisiko tinggi dan bersifat manipulatif. — gambar Hiasan/ Janaan Ai

 

TREND terbaharu di platform TikTok yang dikenali sebagai ‘Yes You Can’ mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa serta pakar psikologi kerana didakwa menyembunyikan elemen eksploitasi seksual secara halus terhadap remaja, khususnya kanak-kanak perempuan.

Trend itu pada zahirnya kelihatan seperti satu bentuk pemerkasaan yang menggalakkan gadis muda untuk yakin bersuara dan menghargai diri sendiri.

Namun, menurut pakar, mesej tersembunyi di sebaliknya berisiko tinggi dan bersifat manipulatif.

BACA LAGI: Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar

BACA LAGI: Selamatkah media sosial buat pewaris negara? Ini pentingnya kawalan ketat persekitaran platform digital

 

 

 

Dalam trend tersebut, pengguna kebanyakannya remaja perempuan bawah umur memuat naik video menggunakan klip lagu dengan lirik lagu 'Yes You Can', disertai teks seperti 'I Can't Date a 2007', yang merujuk kepada penolakan hubungan dengan individu lebih muda.

Namun, si gadis kemudian akan mengubah pendirian dengan berkata 'Yes You Can' sambil mengangguk, seolah-olah memberi keizinan kepada hubungan sedemikian.

Lebih membimbangkan, terdapat pengguna yang memaparkan tahun kelahiran serendah 2012, secara tidak langsung menggambarkan normalisasi hubungan romantik dengan kanak-kanak seawal usia 13 tahun.

Pakar sosial dan pengasas Wa'a Collective di Hawaii, Amerika Syarikat, Noelani Sagapolutele menyifatkan trend tersebut sebagai satu bentuk grooming digital yang amat licik.

Noelani menjelaskan, mesej 'Yes You Can' digunakan untuk menormalkan tingkah laku berisiko tinggi seperti keluar rumah tanpa izin, menaiki kenderaan bersama orang asing, menghantar gambar tidak senonoh, serta mengabaikan nasihat dan panduan ibu bapa.

"Meskipun kelihatan seperti mesej pemberdayaan, ia sebenarnya manipulasi yang menjerumuskan remaja ke dalam situasi berbahaya," tegasnya.

Trend tersebut turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan mental kerana menyasarkan remaja yang masih membentuk identiti diri dan mudah dipengaruhi pengiktirafan dalam talian.

Keinginan untuk diterima

Taktik grooming moden sering mengeksploitasi keinginan semula jadi remaja untuk merasa bebas dan berkuasa. — Gambar Hiasan/Freepik

Sementara itu, Pengasas Cannectd Wellness dan pakar trauma, Shari B. Kaplan menjelaskan bahawa ramai remaja mengaitkan jumlah tontonan dan tanda suka di media sosial sebagai penentu nilai diri.

Rata-rata menganggap diri sudah matang dan berani apabila menyertai trend tersebut, walhal pada hakikatnya, tindakan itu lahir daripada rasa tidak berdaya dan keinginan untuk diterima.

Ahli terapi dan penulis buku For the Sake of Our Youth, Tessa Stuckey pula berpandangan, trend berkenaan mengaburi garis pemisah antara keyakinan diri dan kelakuan tidak bertanggungjawab.

Tessa Stuckey menegaskan, meskipun niat remaja tidak semestinya buruk, mereka mudah terikut-ikut apabila melihat rakan sebaya menyertai trend yang tular.

"Apabila bahasa pemerkasaan digunakan untuk menyokong pemberontakan dan melanggar batas keselamatan, remaja menjadi keliru dan terdorong untuk mengambil risiko tanpa memikirkan akibatnya," katanya.

Lebih merisaukan, kandungan tersebut turut menarik perhatian individu dewasa yang berniat jahat.

Tarikan pemangsa jenayah sosial

Menurut Profesor Kesihatan Awam dari UC Irvine, Dr. Anamara Ritt-Olson, terdapat bukti menunjukkan pengguna dewasa bukan sahaja menonton, malah menyimpan dan menyebarkan semula video-video tersebut ke platform lain.

Sementara itu, Dr. Anamara menyifatkan situasi itu sebagai bukti bagaimana kandungan yang kelihatan tidak berbahaya sebenarnya mampu menjadi tarikan kepada pemangsa seksual dalam talian.

"Taktik grooming moden sering mengeksploitasi keinginan semula jadi remaja untuk merasa bebas dan berkuasa.

"Malangnya, remaja hanya diberikan ilusi kawalan terhadap diri sendiri, sedangkan mereka sedang dimanipulasi untuk membuka ruang kepada eksploitasi.

"Dalam trend 'Yes You Can', tingkah laku berisiko bukan sahaja dinormalisasi, malah diraikan dalam komuniti maya, menjadikan gadis muda lebih mudah terdedah kepada ancaman serius," katanya.

Daripada sudut kesihatan mental, Shari B. Kaplan memberi amaran bahawa walaupun tiada sentuhan fizikal berlaku, penyertaan dalam trend itu boleh mencetuskan perasaan malu, kekeliruan identiti, serta hilang keyakinan terhadap sempadan peribadi dan hubungan sosial.

"Keinginan untuk membuktikan 'kematangan' boleh menyebabkan remaja bertindak melampaui batas sehingga menimbulkan trauma emosi yang berpanjangan," katanya.

Ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif melalui pendidikan literasi digital yang berterusan di rumah dan sekolah. — Gambar Hiasan/ Janaan Ai

Peranan ibu bapa

Shari B. Kaplan menyarankan agar ibu bapa mengambil langkah proaktif melalui pendidikan literasi digital yang berterusan di rumah dan sekolah.

Antara langkah utama termasuk berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak mengenai kandungan yang mereka tonton, bertanya tentang perasaan mereka terhadap video tersebut serta mengenal pasti sama ada mereka pernah rasa tertekan untuk menyertai sesuatu trend.

Selain itu, penggunaan peranti juga perlu dipantau secara teliti. Ibu bapa digalakkan untuk meletakkan peranti di ruang terbuka dan mewujudkan zon bebas peranti di rumah bagi memastikan kawalan yang lebih berkesan.

Walaupun platform seperti TikTok menyediakan ciri keselamatan seperti had masa skrin, mod kandungan terhad, kawalan mesej automatik untuk pengguna bawah 16 tahun dan tetapan privasi default, Noelani menegaskan bahawa langkah teknikal sahaja tidak mencukupi.

Katanya, ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak seperti menjadi berahsia, murung, menghadapi gangguan tidur, penurunan prestasi akademik dan menjauhkan diri daripada keluarga.

“Ibu bapa perlu memahami bahawa trend seperti ini bukan sekadar cabaran media sosial biasa, tetapi merupakan bentuk manipulasi yang sangat halus dan licik,” tegasnya.

Meminta nasihat orang dewasa bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu bentuk kekuatan

Noelani turut menekankan bahawa otak remaja yang masih berkembang menjadikan mereka lebih mudah terpengaruh dan perlukan bimbingan.

Tambahnya, terdapat perbezaan besar antara "Yes You Can" dan "Yes You Should".

Trend itu mengajarkan bahawa kebolehan bersamaan dengan keputusan, sedangkan pemerkasaan sebenar ialah tahu bila perlu berkata "tidak", walaupun secara teknikal mereka mampu berkata "ya".

Noelani turut mengingatkan agar ibu bapa sentiasa memantau kewujudan trend baharu lain di TikTok yang berpotensi membahayakan seperti cabaran ekstrem, aksi lagak ngeri, penipuan, penyebaran maklumat palsu, buli siber, interaksi tidak wajar antara dewasa dan kanak-kanak, serta penggunaan hashtag atau frasa yang mencurigakan.

Dengan algoritma TikTok yang boleh memaparkan kandungan secara rawak, keselamatan digital anak-anak tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada platform tersebut.

Sebaliknya, ia perlu dibentuk melalui pendidikan, komunikasi terbuka dan pengawasan bijak di peringkat keluarga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram