
JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengesahkan bahawa insiden yang tular di sebuah sekolah di negeri ini tidak melibatkan kes buli sebagaimana didakwa di media sosial, sebaliknya berpunca daripada salah faham.
JPNT memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku akibat salah faham antara dua murid dan tidak melibatkan unsur buli.
Katanya, pengesahan diperoleh daripada Pegawai Perhubungan Sekolah, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
BACA LAGI : Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar
BACA LAGI : [VIDEO] ‘Macam orang gila’, pemandu bas himpit kenderaan lain, tunjuk isyarat lucah di lebuh raya
"Siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Buli dan Salah Laku.
"Pihak sekolah juga telah melawat murid yang terlibat semasa mendapatkan rawatan di hospital dan sesi pemuafakatan antara ibu bapa kedua-dua murid sedang diatur serta akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada masa sama, menurut kenyataan itu lagi, JPNT memberi jaminan bahawa isu terbabit akan diselesaikan secara harmoni dan berhemah demi kesejahteraan semua pihak termasuk murid, ibu bapa serta pihak sekolah.
"JPNT juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku lain dan akan mengambil tindakan tegas demi menjamin persekitaran sekolah yang selamat," katanya lagi.
Terdahulu, media pada Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki yang juga bapa kepada seorang murid perempuan yang mendakwa anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul oleh seorang murid lelaki sehingga terpaksa dirawat di hospital.
Perkongsian itu dibuat di laman Instagram milik lelaki tersebut sehingga tular dan menjadi bualan ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram