[VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code' 


  • Sukses
  • Isnin, 16 Jun 2025

Athira bijak memanfaatkan minat pasaran sebagai inspirasi dalam menghasilkan bauan yang menjadi rebutan.

SEJAK usianya mencecah belasan tahun, Athira Mohamed Shahid sudah menunjukkan kecintaan mendalam terhadap haruman mewah.

Ketika berumur 15 tahun pula, wangian pertamanya adalah minyak wangi keluaran salah satu jenama mewah dari Perancis, 'dipinjam' daripada ibunya yang juga seorang pencinta haruman tegar. 

Bagi Athira, haruman bukan sekadar bau, ia mewakili memori dan perasaan individu.

BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z

BACA LAGI: [VIDEO] Dedikasi buat 'omma', pencipta kandungan Korea Selatan sanggup berhenti kerja, bina jenama pes autentik Korea halal di Malaysia

“Saya boleh tahu mama dah keluar rumah hanya dengan bau minyak wangi beliau yang masih melekat di dalam bilik. 

"Sejak itu, saya percaya bau minyam wangi boleh buat kita mengingati seseorang,” katanya ketika ditemui Majoriti.

Athira percaya, kejayaan dalam bisnes bergantung pada keberanian untuk bermula.

Minat tersebut terus berkembang selepas Athira bekerja sebagai pramugari. 

Kesempatan terbang ke luar negara digunakannya untuk membawa masuk stok minyak wangi yang tiada di pasaran tempatan dan dijual secara sambilan. 

Ternyata, permintaan terhadap produk tersebut tinggi, khasnya dalam kalangan mereka yang mencari bau mewah pada harga mampu milik.

Melihat potensi yang besar, usahawan berusia 30 tahun itu perlahan-lahan menukar hobi tersebut menjadi kerjaya sepenuh masa. 

Selepas dua tahun menjalankan perniagaan secara sambilan, beliau nekad meninggalkan dunia penerbangan pada 2018, untuk menumpukan sepenuhnya pada jenama Beauboss Perfume (Beauboss).

Uniknya, Athira memulakan perniagaan itu tanpa sebarang modal besar. Sebaliknya, beliau menggunakan kaedah pra-pesanan bagi membina kepercayaan pelanggan dan mengumpul modal pusingan secara organik. 

Hasilnya, jenama dengan 280 jenis bau itu kini berkembang pesat, dengan jualan mencecah antara 40,000 hingga 50,000 botol sebulan.

"Beauboss bukan sekadar jenama, tetapi ia adalah gabungan makna. Beau bermaksud cantik dalam bahasa Perancis dan juga mewakili lelaki serta wanita. 

"Sementara Boss pula mewakili semangat kepimpinan, simbolik pada keyakinan.

"Saya nak semua orang rasa seperti bos apabila pakai Beauboss, jadi yakin dan eksklusif, tapi dengan harga mampu milik,” ujarnya.

Athira memulakan perniagaan minyak wangi tanpa sebarang modal besar.

Trend vanila

Bercerita mengenai trend, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, bau vanila bukan sekadar aroma yang menenangkan, tetapi kini menjadi trend global dalam dunia wangian.

Menyedari kecenderungan itu, Athira bijak memanfaatkan minat pasaran sebagai inspirasi dalam menghasilkan bauan yang menjadi rebutan.

Menurutnya, proses mencipta sesuatu bau bukanlah sekadar berdasarkan cita rasa peribadi, sebaliknya ia melalui penyelidikan yang teliti terhadap trend pasaran semasa.

“Kebiasaannya kami akan buat kajian, minyak wangi apa yang ramai orang suka? Dari situ saya buat keputusan untuk keluarkan bau-bau yang seiring dengan kehendak pasaran,” jelas finalis Dewi Remaja 2014/15 itu lagi.

Hasil pemahaman terhadap pasaran, Beauboss memperkenalkan pelbagai variasi bau termasuk berasaskan vanila, oud (gaharu) dan wangian berunsurkan herba serta kayu.

Aroma itu katanya, merupakan antara pilihan utama pembeli masa kini.

Fenomena tersebut bukan terhad dalam negara sahaja. Malah apabila Beauboss mula menembusi pasaran luar seperti Brunei, Singapura dan Indonesia, trend yang sama turut berlaku. 

"Pelanggan luar negara juga cenderung memilih wangian berasaskan vanila, sama seperti pelanggan tempatan.

"Sebenarnya, orang luar pun sama macam orang kita juga. Mereka nak beli apa yang paling laris," bicaranya.

Athira memanfaatkan minat pasaran sebagai inspirasi dalam menghasilkan bauan yang menjadi rebutan.

Berani

Anak jati Kuala Lumpur itu percaya, kejayaan dalam bisnes bukan bergantung semata-mata pada wang yang banyak, tetapi lebih pada keberanian untuk bermula.

Akuinya, ramai orang tersilap langkah apabila terlalu menunggu 'sempurna' sebelum memulakan perniagaan.

Beliau turut menasihatkan bakal usahawan agar tidak terburu-buru membuat pinjaman atau berhutang sebelum benar-benar memahami hala tuju bisnes.

“Kalau awal-awal dah buat hutang, nanti susah pula nak urus bisnes. Ramai suka pinjam sebelum buat, tapi saya rasa tak perlu pun. 

"Yang penting, mula dulu dengan apa yang kita tahu dan buat dengan bersungguh-sungguh kerana nak berjaya ni tiada cheat code. Semua orang melalui hal sama,” tuturnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram