'Baru 2.3kg dah kena dukung berpuluh tangan', bayi pramatang belum kuat, mudah dijangkiti penyakit serius


  • Bonda
  • Isnin, 23 Jun 2025

Public Health Malaysia menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap keadaan bayi pramatang dan mengelakkan sebarang interaksi fizikal tanpa keizinan ibu bapa.

TINDAKAN orang ramai yang gemar mendukung dan mencium bayi yang baharu lahir, khususnya pramatang, boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius.

Peringatan itu telah dikongsikan oleh Public Health Malaysia di media sosial baru-baru ini.

Menurut kenyataan tersebut, bayi pramatang, lahir sebelum usia kandungan mencecah 37 minggu, mempunyai sistem imunisasi masih belum matang dan sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan berbahaya.

BACA LAGI: Kilang simen era Perang Dunia Pertama transformasi jadi mahligai mewah di Barcelona, setiap sudut ada ceritera

BACA LAGI: Plastik siling L-Box tampak dekoratif, moden, tapi pemilik perlu fikir 2 kali, ini perkongsian pakar

"Baru 2.3 kilogram, tapi dah kena dukung berpuluh tangan. Dia lahir lebih awal dari tarikh sepatutnya.

"Nafasnya pun masih laju dan pendek-pendek,” kata kenyataan itu yang menggambarkan situasi lazim yang berlaku semasa majlis sambutan kelahiran.

Walaupun bayi mungkin kelihatan sihat secara fizikal, namun hakikatnya sistem pertahanan tubuh mereka masih belum mampu melawan virus dan bakteria dengan berkesan.

Terdedah jangkitan bahaya

Antara jangkitan yang paling dikhuatiri termasuklah virus pernafasan seperti RSV (respiratory syncytial virus), pneumonia, jangkitan darah (sepsis), serta Covid-19.

Bahkan, pendedahan kepada virus herpes daripada ciuman juga boleh mengancam nyawa bayi yang masih terlalu muda dan lemah.

"Kadang-kadang kita anggap ia hanya selesema biasa, tapi bagi bayi pramatang boleh menjadi jangkitan sangat serius dan membawa maut," jelas kenyataan itu lagi.

Selain itu, bayi pramatang juga lebih sensitif terhadap tekanan fisiologi akibat rangsangan berlebihan seperti bunyi bising, lampu terang, serta sentuhan fizikal yang kerap.

Sehubungan itu, Public Health Malaysia menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap keadaan bayi pramatang dan mengelakkan sebarang interaksi fizikal tanpa keizinan ibu bapa.

Antara saranan digariskan termasuk:

  • Tidak menyentuh atau mencium bayi sesuka hati.
  • Sentiasa mencuci tangan sebelum menyentuh bayi.
  • Elakkan daripada melawat jika mengalami sebarang simptom jangkitan.
  • Ibu bapa digalakkan untuk berani menolak permintaan pelawat jika perlu.

Langkah-langkah pencegahan itu amat penting bagi memastikan bayi yang masih lemah sistem pertahanannya tidak terdedah kepada risiko jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

Public Health Malaysia turut menyeru orang ramai untuk menyebarkan kesedaran ini agar lebih ramai memahami bahaya yang mungkin tidak dapat dilihat secara zahir.

"Kesedaran adalah perlindungan terbaik. Mungkin kita tak nampak bahayanya, tapi bayi kecil itu sedang bertarung untuk kuat," tegas kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram