Vaksin cacar air tidak berkesan untuk 'monkeypox'


  • Massa
  • Selasa, 24 Mei 2022

Cacar monyet berpunca daripada virus ortopox manakala cacar air berpunca daripada virus varicella-zoster.

ADA yang mendakwa bahawa vaksin cacar air dapat memberikan perlindungan daripada cacar monyet (monkey pox).

Namun, tiada bukti bahawa vaksin ini mampu melindungi orang ramai daripada penyakit itu.

Kemungkinan untuk menggunakan vaksin yang sama untuk perlindungan cacar air dan cacar monyet adalah sangat rendah kerana kedua-dua penyakit itu disebabkan oleh jangkitan virus berbeza.

Cacar monyet berpunca daripada virus ortopox manakala cacar air berpunca daripada virus varicella-zoster.

Virus cacar monyet berkait rapat dengan virus variola yang mengakibatkan cacar dan cacar air pula berkait dengan virus herpes simplex.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa beberapa kajian menunjukkan vaksin cacar mempunyai tahap keberkesanan 85 peratus terhadap cacar monyet.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika menasihatkan pengembara mendapatkan vaksin cacar untuk melindungi diri sebelum vaksin bagi virus ortopox dikeluarkan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Koh Kar Chai bersetuju bahawa vaksin cacar air bukanlah langkah pencegahan yang berkesan terhadap cacar monyet.

"Tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa vaksin cacar air mampu memberikan perlindungan terhadap cacar monyet," katanya dalam satu kenyataan.

"Tetapi terdapat bukti menunjukkan vaksin cacar mampu memberikan tahap perlindungan. Namun, vaksin ini sukar diperoleh kini kerana cacar telah diisytiharkan pupus," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram