Dakwaan jangkitan herpes berpunca dari seks oral sahaja tidak tepat, masyarakat perlu cakna cara sebenar virus tersebar


  • Sihat
  • Ahad, 22 Jun 2025

Khalieda Yusra mengaitkan jangkitan herpes dengan kebersihan alat sulit suaminya.

PUBLIC Health Malaysia (PHM) menegaskan bahawa bau alat sulit seseorang bukan punca jangkitan herpes, susulan kenyataan berseloroh seorang usahawan wanita yang mendakwa dijangkiti virus itu ada kaitan dengan kebersihan alat sulit suaminya.

Pemilik jenama Kieda Crepe, Siti Nur Khalieda Yusra mencetuskan perhatian ramai selepas memuat naik rakaman video dirinya mendapatkan rawatan akibat jangkitan Herpes Simplex Virus (HSV-1).

Dalam video tersebut, beliau berkongsi gejala awal yang dialaminya.

“Bibir saya naik biji-biji. Dia rasa kebas tapi tak pedih,” katanya.

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI: Jika kerap makan gelojoh, tiada variasi menu, tiba masanya ubah tabiat buruk ini, elak risiko kesihatan

Namun yang lebih menarik perhatian adalah kenyataan gurauan yang mengaitkan punca jangkitan dengan alat sulit suaminya, Hilmi Zaki.

Susulan kenyataan itu, PHM menerusi satu hantaran di Facebook tampil memperbetulkan kekeliruan berhubung penularan virus tersebut.

"Jika pasangan mempunyai jangkitan aktif walaupun tanpa simptom, jadinya virus boleh berjangkit melalui hubungan rapat,” kata PHM. 

Penularan pula boleh berlaku melalui sentuhan langsung kulit ke kulit, ciuman, seks oral atau perkongsian barangan seperti lip balm, sudu dan tuala. 

Dalam banyak kes, jangkitan berlaku sejak kecil tanpa disedari.

PHM menjelaskan bahawa virus itu boleh kekal tidak aktif dalam badan untuk tempoh yang lama, namun boleh kembali aktif apabila sistem imun lemah.

Dalam kes Kieda, doktor yang merawat memaklumkan jangkitan yang dialami berada pada peringkat awal, namun boleh berulang jika tidak ditangani dengan baik.

Rawatan lazimnya melibatkan krim antivirus seperti acyclovir, manakala pesakit yang mengalami jangkitan berulang mungkin memerlukan ubat oral.

PHM turut menasihati orang ramai agar tidak menjadikan isu kesihatan sebagai bahan jenaka atau malu untuk mendapatkan maklumat.

“Kesihatan bukan isu untuk dijadikan bahan jenaka atau disorokkan. Ia perlu difahami dan ditangani dengan ilmu,” tegas PHM.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram