Ibu luah rasa pilu anak tiba-tiba keluar agama, pendakwah jelaskan fasa krisis identiti menurut teori Erikson


  • Bonda
  • Selasa, 24 Jun 2025

Remaja berumur antara 13 hingga 19 tahun mengalami fasa Identiti vs Kekeliruan Peranan. — Gambar Hiasan

"MAK, saya dah tak beragama Islam."

Itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh seorang ibu, yang hanya mahu dikenali sebagai Puan F, selepas anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun tiba-tiba membuat pengakuan mengejutkan iaitu sudah keluar daripada agama Islam.

Pengakuan yang dibuat pada pukul 3 pagi itu berlaku apabila Puan F mengarahkan anaknya agar menunaikan solat. 

“Saya bangun macam biasa. Nampak dia pun dah bangun, pegang telefon. Saya kata, ‘Kakak, pergilah solat.’ Tiba-tiba dia terus maklumkan benda tu. Saya hanya mampu memintanya untuk berbincang semula kepada saya secara baik," kata Puan F dalam satu sesi siaran radio.

BACA LAGI: Dakwaan jangkitan herpes berpunca dari seks oral sahaja tidak tepat, masyarakat perlu cakna cara sebenar virus tersebar

BACA LAGI: RM10,000 dalam akaun ASB anak tiba-tiba lesap, pentingnya didikan urus kewangan sejak kecil

Menurut Puan F, anaknya merupakan seorang remaja pendiam yang jarang keluar rumah, namun, sering meluangkan masa di atas talian.

“Saya kerja dalam bidang teknologi maklumat. Jadi saya periksa telefon dia. Memang banyak laman web yang saya jumpa berkaitan dengan hal-hal yang bertentangan dengan agama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa anaknya disahkan mengalami Neurodevelopmental Disorder (NDD) dan beliau sendiri turut memiliki masalah yang sama.

Hal itu menjadikan komunikasi antara mereka lebih mencabar.

Mengulas situasi itu, pendakwah terkenal, Izzhar Nazri berkata, tingkah laku remaja tersebut boleh dijelaskan menerusi Teori Erikson tentang perkembangan psikososial, khususnya fasa Identiti vs Kekeliruan Peranan yang dialami oleh remaja berumur antara 13 hingga 19 tahun.

“Dalam tempoh ini, remaja sedang mencari siapa diri mereka. Mereka mudah keliru dari segi agama, personaliti atau hala tuju hidup.

"Ketika inilah peranan ibu bapa amat penting untuk hadir dan membimbing dengan penuh kasih sayang,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, ada kemungkinan anak berasa dirinya tidak difahami dan hanya menerima tekanan daripada ibu bapa tanpa sokongan emosi yang mencukupi.

“Mungkin anak rasa mak ayah tak sayang. Mungkin dia rasa cuma disuruh, ditekan, tetapi tidak pernah didengar.

"Lalu dia memilih untuk menjauhkan diri iaitu bukan sahaja daripada keluarga, tetapi juga daripada agama," katanya.

Izzhar menekankan bahawa langkah pertama untuk membetulkan keadaan bukanlah dengan memarahi atau menghukum, tetapi membina semula hubungan yang telah renggang.

Antara saranan beliau termasuklah meluangkan masa berkualiti secara santai bersama anak seperti mengajaknya minum kopi, berjalan di taman, menonton filem bersama atau melakukan aktiviti luar secara berdua.

“Bukan semestinya kena beri teguran. Kadang-kadang cukup sekadar anak rasa, ‘Mak aku sayang aku.’ Dari situ akan timbul rasa bersalah jika dia khianat kepercayaan mak dan agama," katanya. 

Tambah beliau, mesej paling penting yang perlu anak sulung itu terima ialah bahawa dia tidak bersendirian dan ibunya tetap menyayanginya walau apa pun berlaku.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram