
TERKENAL dengan watak antagonis, Pablo Amirul, 40, atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd Sakri mencipta sensasi di bumi Hong Kong menerusi karya terbaharunya tidak lama lagi.
Berperanan sebagai tunjang utama dalam filem Breakout Brothers 4, anak jati Wakaf Bharu, Kelantan itu membuktikan bakat tempatan juga mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Lebih mengujakan, karya hebat itu turut mendapat sentuhan penulis skrip tersohor China iaitu Edmond Wong yang sebelum ini pernah menghasilkan filem trilogi Ip Man dan The Prosecutor.
Ia sekali gus membuktikan Pablo kini berada di kelas tersendiri dan semakin dikenali pihak produksi dari luar negara.
Membawakan watak antagonis sebagai ketua banduan di sebuah penjara kawalan ketat di salah satu negara Asia Tenggara, bintang filem Polis EVO (2015) itu difahamkan banyak melakonkan aksi lagak ngeri di samping gandingan hebat bersama bintang perfileman Hong Kong.
Dalam pada itu, Breakout Brothers 4 turut mendapat sentuhan tangan pengarah Malaysia menerusi kerjasama dua hala antara produksi Mandarin Motion Pictures dan Skop Production.
Berpengalaman lebih 13 tahun dalam industri perfileman tempatan, ini merupakan filem keempat lakonan antarabangsa Pablo selepas Belaban Hidup (2021), Deleted (2022) dan Escape (2023).
Terdahulu, Pablo meluahkan dirinya selesa dengan deretan tawaran watak jahat diterima walaupun ada peminat melabel ia sebagai peranan mudah buatnya.
Akur dengan wajah 'jahat' pemberian tuhan, dia sama sekali tidak berasa bosan apatah lagi kecewa dengan pandangan masyarakat, sebaliknya mahu terus melakar kejayaan dalam bidang lakonan biarpun sebagai watak antagonis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram