[VIDEO] ‘Hari-hari call suruh datang’, SRK tunaikan hasrat Aamir Khan gembirakan pelakon OKU filem Sitaare Zameen Par


  • Hiburan
  • Khamis, 19 Jun 2025

Shah Rukh Khan beramah mesra bersama barisan pelakon filem Sitaare Zameen Par dan rakan karibnya, Aamir Khan. — Agensi

SELEPAS tiga tahun menyepi di layar perak, aktor tersohor Bollywood, Aamir Khan sedia untuk membuat kemunculan semula menerusi filem Sitaare Zameen Par.

Teruja dengan perkara itu, filem tersebut turut mendapat sokongan istimewa daripada rakan seperjuangannya, Datuk Shah Rukh Khan apabila hadir mengejut ke set penggambaran naskhah berkenaan baru-baru ini.

Menerusi video di sebalik tabir (BTS) dikongsikan pada Khamis, Shah Rukh Khan yang mesra dengan panggilan SRK dilihat beramah mesra dengan beberapa barisan pelakon filem itu yang rata-ratanya golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Hidup ini keras’, pelakon wanita popular kini tukang gunting rambut, bancuh simen

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 'Seribu Tahun TTC' ubati duka, karya Imran Ajmain meruntun hati pasangan menanti zuriat

Mendedahkan dirinya sudah berkali-kali dijemput hadir ke set penggambaran oleh Aamir Khan, kehadirannya nyata meninggalkan momen manis buat kesemua kru yang terlibat dalam produksi terbabit.

"Aamir hari-hari hubungi serta menjemput saya berkali-kali dan berkata, 'datanglah ke set, jumpa para pelakon, mereka sangat berbakat' dan akhirnya saya datang juga.

"Saya sangat gembira melihat semangat mereka semua," katanya.

Dalam pada itu, Shah Rukh Khan turut meluangkan masa berbual bersama pelakon kanak-kanak filem itu, sambil berkongsi filem kegemaran lakonannya iaitu Chak De! India dan Don

Bapa kepada tiga orang anak itu juga turut merakamkan kenangan apabila bergambar bersama seluruh kru produksi yang kemudiannya tular di laman sosial baru-baru ini.

Filem Sitaare Zameen Par

Filem sekuel Taare Zameen Pa (2007) itu membariskan seramai 10 pelakon baharu iaitu Aroush Datta, Gopi Krishna Varma, Samvit Desai, Vedant Sharma, Ayush Bhansali, Ashish Pendse, Rishi Shahani, Rishabh Jain, Naman Mishra, dan Simran Mangeshkar. 

Merupakan adaptasi daripada filem Sepanyol iaitu Campeones, naskhah agung itu menampilkan Aamir Khan yang berperanan sebagai jurulatih bola keranjang  sebuah pasukan OKU.

Turut membintangi filem itu ialah Genelia D’Souza yang juga kembali ke layar perak selepas beberapa tahun menyepi dalam industri.

Menyentuh tema pendidikan dan penghargaan terhadap kanak-kanak istimewa, Sitaare Zameen Par yang diarahkan RS Prasanna, dijadual ditayangkan di pawagam seluruh dunia bermula 20 Jun 2025.

Tidak hanya memfokuskan kepada sentuhan emosi, filem tersebut turut menyuntik kesedaran sosial tentang pentingnya penerimaan terhadap komuniti OKU.

Kembalinya Aamir Khan di samping sokongan hebat daripada Shah Rukh Khan, menjadikan filem itu antara yang paling dinanti-nantikan tahun ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram