Anak tunggal terlebih manja? Ini cabaran, realiti hidup tanpa adik-beradik


  • Bonda
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Anak tunggal lazimnya mendapat perhatian lebih daripada ibu bapa. — Gambar hiasan/Agensi

MANJA, kesayangan dan istimewa antara persepsi dan pandangan masyarakat terhadap golongan anak tunggal.

Tidak dinafikan, faktor ketiadaan adik-beradik lain membuatkan perhatian ibu bapa lebih tertumpu kepada individu bergelar anak tunggal, sekali gus menyokong stigma sedemikian.

Namun, pengalaman menjadi satu-satunya cahaya mata dalam keluarga juga dituruti cabaran dan dugaan tersendiri.

BACA LAGI: Pantau perkembangan 1,000 hari pertama anak, bayi risiko tinggi dijangkiti 3 penyakit tersembunyi

BACA LAGI: Cadang pertimbang cuti paterniti sebulan, 7 hari tak cukup, beri peluang suami bantu urus bayi, isteri

Berkongsi kisah bergelar anak tunggal, Farrah A’inna Fathirra Rosli, 34, menganggap ia satu kelebihan dan nikmat yang tidak dapat dimiliki sesiapa.

"Yang baiknya, saya dapat perhatian penuh dari segi pelajaran dan keperluan harian, ibu bapa lebih memahami kerana hanya fokus pada saya," katanya.

Namun begitu, Farrah mengakui ketiadaan adik-beradik kadangkala membuatkan dirinya buntu dalam membuat keputusan.

"Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tiada siapa untuk dirujuk, terpaksa fikir sendiri dari A hingga Z," jelasnya.

Walaupun berasal dari keluarga kecil, Farrah menghargai suasana meriah terutamanya ketika sambutan hari raya yang diraikan dengan sanak-saudara.

Bergelar ibu kepada dua orang anak, Farrah melihat hubungan kekeluargaan sebagai satu sistem sokongan penting dalam kehidupan.

“Suami saya sangat membantu walaupun selepas penat bekerja dan saya mahu anak-anak membesar sebagai individu yang suka menolong serta pemurah hati,” katanya.

Sementara itu, Putri Nadeeya Wan Mohamed Zahari, 42, turut berkongsi pengalaman serupa.

Baginya, bergelar anak tunggal memiliki banyak keistimewaan dan tekanan berbeza-beza.

“Saya dapat semua perhatian dan kasih sayang ibu bapa, tiada saingan, jadi mudah untuk dapat apa yang saya mahukan.

"Tetapi, bila semuanya terletak atas bahu seorang anak, tekanan itu berganda, kadang-kadang terasa sunyi, tetapi dari situ kita belajar untuk menjadi lebih kuat,” ujar pengurus pentadbiran dari Petaling Jaya, Selangor itu.

Dalam perspektif berbeza, pengaturcara William Ong, 38, dari Puchong, membesar bersama dua kakak dan melihat pengalaman itu membentuk dirinya dengan nilai kasih sayang yang sangat berbeza.

“Ibu bapa saya sangat adil, walaupun kami selalu ditinggalkan di rumah kerana mereka bekerja, ibu tetap pastikan makanan tersedia untuk kami,” katanya.

Merupakan bapa kepada seorang cahaya mata, Ong akur dengan cabaran membesarkan anak tunggal yang menurutnya tidak semudah disangka.

“Anak tunggal mungkin kurang kemahiran berkongsi atau rasa sunyi. Tapi kos membesarkan anak sangat tinggi, taska saja boleh mencecah RM1,500 sebulan.

"Membesarkan seorang anak ke usia dewasa boleh melebihi RM500,000,” katanya.

Ong dalam masa sama turut menekankan bahawa persepsi masyarakat tidak seharusnya mencorakkan masa depan sesebuah keluarga.

“Setiap keluarga ada cerita mereka tersendiri dan bukan semua orang sesuai atau mampu untuk mempunyai lebih daripada seorang anak,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram