
"MALAM ini, aku tak kejar tidur, aku kejar sesuatu yang lebih dalam, pahala menjadi ayah yang hadir".
Demikian luahan pelakon popular Saharul Ridzwan, 36, atau nama penuhnya Muhammad Saharul Ridzwan Hashim yang bagaikan dijentik hatinya saat menemani anaknya bermain awal pagi.
Biarpun letih dengan jadual kerja harian yang padat, bintang filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang (2023) itu cekal melayan kerenah anaknya, Khadijah Alkubraa, 3, yang gemar bermain 'masak-masak' di kediamannya.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Hidup ini keras’, pelakon wanita popular kini tukang gunting rambut, bancuh simen
Namun, momen tersebut menurutnya dibayar dengan kenangan tidak ternilai harganya ekoran pengajaran dan teladan diraih pada ketika itu.
Cuba memahami maksud dan logik di sebalik situasi yang berlaku awal pagi itu, Saharul mula mengenali erti cinta sebenar serta tanggungjawab sebagai seorang bapa.
"Pukul 1.17 pagi, semua orang dah tidur tapi aku still duduk depan 'kedai', seorang pelanggan tetap untuk anak aku Khadijah Alkubraa.
"Dia hulur satu senduk mainan katanya, 'Baba..try, nyummy', aku senyum tak mampu nak tolak.
"Tangan dia kecik je, tapi penuh semangat, mata dia bercahaya, seolah-olah dunia ini cuma ada dua orang... dia dan aku.
"Dan waktu tu, aku terdiam, dalam diam, aku terfikir beginikah cara ALLAH ajar aku erti cinta? Bukan dengan kata-kata, tapi dengan mainan yang nampak remeh, bukan dengan khutbah, tapi dengan renungan seorang anak yang cuma mahu ditemani," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sanggup bersengkang mata demi anaknya, situasi yang pada mulanya dianggap lucu itu kemudiannya menjadi pengajaran berguna buat bekas peserta program realiti Hero Remaja 2011/12 tersebut yang menganggap ia sebagai sumber pahala bergelar bapa.
Tatkala orang ramai masih lena dibuai mimpi, senyuman lebar kian terukir di bibir Saharul melihatkan keriangan anaknya yang masih 'segar' bermain.
"Ada benda yang kita takkan faham dengan logik, hanya boleh faham bila duduk sebagai seorang ayah, duduk lama-lama depan rumah kecik plastik ni dan sedar.
"Ini bukan main-main, ini adalah kehidupan yang sedang terbina dalam jiwanya dan akulah saksi pertama.
"Malam ini, aku tak kejar tidur, aku kejar sesuatu yang lebih dalam, pahala menjadi ayah yang hadir kerana kadang-kadang, syurga itu ada dalam kenangan seorang anak," tambahnya.
Terdahulu, Saharul mengumumkan pengunduran dirinya dari industri hiburan tanah air demi memberi tumpuan kepada masa depan dan keselamatan keluarganya.
Banyak menumpukan masa kepada aktiviti dakwah dan perkongsian rohani, anak jati Kuantan, Pahang itu kerap berkongsi aktiviti dakwah cara moden menerusi ceramah dan platform laman sosial.
Kini, perniagaan pakaian dan produk makanan halal diusahakan bersama isterinya menjadi sumber rezeki dan punca pendapatan baharunya usai meninggalkan dunia lakonan sejak 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram