Cadang pertimbang cuti paterniti sebulan, 7 hari tak cukup, beri peluang suami bantu urus bayi, isteri


  • Bonda
  • Khamis, 19 Jun 2025

Cuti paterniti berbayar di Malaysia wajar ditambah bagi memudahkan urusan bapa menjaga isteri usai kelahiran. — Gambar hiasan/Freepik

CADANGAN menetapkan tempoh minimum cuti paterniti selama sebulan bagi bapa yang menyambut kelahiran anak dilihat semakin relevan dalam era moden.

Langkah itu diyakini mampu memperkukuh sokongan kepada ibu selepas bersalin, selain memperkasakan peranan bapa dalam penjagaan awal bayi.

Bukan lagi sekadar keistimewaan, cuti paterniti merupakan satu keperluan bagi membina keluarga sihat secara fizikal dan emosi.

BACA LAGI: ‘Jangan jadi ayah banyak membeli tak sempat menemani’, ALLAH ajar Saharul Ridzwan erti cinta menerusi Khadijah Alkubraa

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Hari-hari call suruh datang’, SRK tunaikan hasrat Aamir Khan gembirakan pelakon OKU filem Sitaare Zameen Par

Tatkala ibu masih dalam proses pemulihan tubuh dan mental selepas bersalin, bantuan si suami amat penting dalam menguruskan bayi dan hal rumah tangga.

Hal itu meraih perbincangan hangat di laman Threads baru-baru ini apabila rata-rata isteri menggesa agar kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut.

Di Malaysia, pekerja sektor swasta hanya diberikan tempoh cuti paterniti selama tujuh hari berbayar, manakala penjawat awam mendapat 14 hari.

Namun, jumlah itu dikatakan kurang mencukupi dan membataskan peluang bapa dalam memberikan sokongan sepenuhnya pada fasa kritikal usai kelahiran.

Negara cuti paterniti panjang

Beberapa negara telah pun menetapkan cuti paterniti berbayar yang jauh lebih panjang membuktikan komitmen mereka terhadap kesaksamaan gender dan kesihatan keluarga.

Berikut ialah empat negara dengan cuti paterniti melebihi sebulan:

1. Lithuania

Undang-undang kerajaan Lithuania menetapkan cuti paterniti berbayar selama sebulan bagi individu yang menyambut kelahiran anak.

Individu bergelar bapa angkat juga diberikan keistimewaan serupa dan boleh dimohon dalam tempoh tiga bulan selepas pengambilan anak angkat.

2. Jepun

Biarpun kadar kelahiran Jepun agak rendah, kerajaannya masih menetapkan cuti paterniti hingga dua bulan.

Polisi dan undang-undang berkenaan mula dikuatkuasakan sejak sekian lama, sekali gus menunjukkan perubahan budaya negara itu ke arah keluarga seimbang.

3. Sweden

Terkenal sebagai sebuah negara yang mengutamakan keseimbangan kerja dan kehidupan, Sweden menyediakan cuti paterniti sehingga 480 hari bersama 16 bulan khas untuk bapa.

Tempoh itu dikuatkuasakan bagi setiap individu yang mengambil insurans di negara berkenaan dan hampir kesemua rakyatnya diwajibkan melanggan pelan perlindungan kesihatan.

4. Portugal

Setiap bapa berhak menuntut cuti paterniti berbayar selama 28 hari dari syarikat masing-masing.

Selain itu, golongan tersebut juga boleh meminta cuti tambahan selama tujuh hari sekiranya memerlukan lebih masa dalam penjagaan isteri dan bayi.

Cuti sebulan wajar dan realistik

Berbanding negara-negara maju tersebut, cadangan cuti paterniti selama 30 hari di Malaysia masih dianggap realistik.

Tambahan cuti ini bukan sahaja memberi peluang kepada suami untuk belajar dan memahami keperluan bayi, tetapi juga dapat mengurangkan tekanan emosi ibu bersalin, sekali gus menurunkan risiko tekanan (postpartum depression).

Dengan sekurang-kurangnya sebulan cuti paterniti berbayar, nescaya negara dapat melahirkan generasi baharu yang lebih stabil emosi dengan sokongan serta penjagaan khusus bapa di awal kelahiran.

Tidak hanya meringankan beban isteri, peranan individu tersebut turut berfungsi sebagai tulang belakang keluarga bermula detik pertama kelahiran bayi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram