Si cilik penghafal Al-Quran, fasih berbahasa Arab jadi inspirasi ibu bapa dalam mendidik anak


  • Bonda
  • Khamis, 19 Jun 2025

Aisyah Ar Rumi mula mencuri perhatian selepas menyertai program realiti Hafiz Indonesia 2024.

DALAM dunia serba moden dan mencabar hari ini, kisah Aisyah Ar Rumi, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Malang, Indonesia, menjadi inspirasi luar biasa buat golongan ibu bapa.

Bukan sahaja memikat hati jutaan penonton dalam program realiti Hafiz Indonesia 2024, bahkan menjadi lambang kecekalan dan kejayaan dalam mendidik anak-anak mencintai Al-Quran sejak usia muda.

BACA LAGI: [VIDEO] Gajet bantu Aafiyah kuasai bahasa Inggeris, Siti Nurhaliza kawal, tetapkan sejam sehari saja

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 'Seribu Tahun TTC' ubati duka, karya Imran Ajmain meruntun hati pasangan menanti zuriat

 

 

 

Didikan bermula dari rumah

Aisyah bukan anak yang dilahirkan dalam keluarga berharta, namun kaya dengan semangat dan nilai keagamaan hasil didikan ibu bapanya.

Ibunya, Maisyaroh merupakan pendidik utama yang sabar dan berdedikasi dalam membimbing Aisyah setiap hari. Rutin mengulangkaji dan hafalan hafazan dilakukan secara konsisten selepas sekolah, menjadikan rumah mereka sebagai ‘madrasah kecil’ yang penuh barakah.

Apa yang menjadikan kisah si cilik itu lebih menyentuh hati adalah latar belakang keluarganya yang berkorban banyak demi memilih aturan hidup berlandaskan agama.

Ibunya pernah mendedahkan bahawa keluarga mereka sanggup melepaskan kesenangan dunia, termasuk perniagaan pakaian yang diusahakan demi menumpukan perhatian kepada pendidikan agama anak-anaknya.

 

Kecemerlangan di pentas nasional

Walaupun tidak mara hingga ke peringkat akhir Hafiz Indonesia, Aisyah tetap dikenang sebagai salah seorang peserta yang unik.

Fasih dalam bacaan dan mampu bertutur dalam bahasa Arab dengan lancar, peneyrtaan kanak-kanak itu memberikan impak besar kepada penonton dan para juri hingga ke hari ini.

Keyakinan, kematangan dan kasih sayang terhadap Al-Quran terpancar jelas pada setiap surah dibacakan.

 

 

Inspirasi ibu bapa

Kisah Aisyah Ar Rumi bukan hanya tentang bakat luar biasa, tetapi lebih kepada hasil kesungguhan ibu bapa dalam membentuk keperibadian anaknya sejak usia kecil.

Ibu bapanya tidak menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik kepada sekolah atau guru, sebaliknya mereka sendiri menjadi guru pertama yang mendidik anak mereka.

Meraih perkongsian ramai di laman sosial, rata-ratanya menjadikan kisah kejayaan Aishah sebagai inspirasi serta panduan terbaik dalam mendidik anak.

"Sampai menitis air mata saya, tahniah ibu bapa yang berjaya mendidik, jadi contoh pada generasi ibu bapa muda," kata Rokiah Mohamed.

"Semoga menjadi anak yang berguna kepada bangsa dan agama, harap dijadikan conoth semua ibu bapa terapkan ilmu agam pada anak, nescaya dunia lebih aman," ujar Hayati.

"Hebat generasi muda di Indonesia, pelapis agamawan satu hari nanti dan harapnya kita pun dapat lahirkan golongan ulamak hebat macam ni," tambah Badruddin Ahmad.

Justeru, Aisyah Ar Rumi membuktikan bahawa kanak-kanak juga boleh menjadi bintang bukan kerana glamor atau populariti, tetapi kerana akhlak dan kecintaan terhadap Al-Quran.

Kisahnya patut menjadi cerminan buat semua ibu bapa bahawa kejayaan sebenar adalah apabila berjaya mendidik anak-anak dengan ilmu agama di jalan diredhai ALLAH. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram