
SETIAP ibu bapa mengimpikan pengalaman melancong bersama anak walaupun masih di usia kecil.
Tidak dinafikan, segelintir pihak berpendapat perjalanan jarak jauh kurang sesuai bagi golongan bawah usia enam tahun atas faktor keselamatan dan keselesaan si kecil dalam penerbangan.
Namun, seiring perkembangan teknologi semasa, fasiliti serta kelengkapan kanak-kanak dalam pesawat juga ditambah baik dengan peralatan khas yang membolehkan golongan sedemikian 'terbang' beribu batu atas awan.
Berkongsi tip mudah melancong bersama si kecil di laman Threads baru-baru ini, seorang wanita mendedahkan kriteria jenis kerusi keselamatan kanak-kanak yang boleh dibawa menaiki kabin pesawat.
Jelasnya, kerusi keselamatan digunakan mestilah mendapat kelulusan dan pengiktirafan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Ciri dan spesifikasi yang ada pada kerusi kelulusan FAA mempunyai ciri keselamatan serta dokumentasi yang diluluskan untuk digunakan pada kerusi pesawat penerbangan.
Tambahnya, ciri kerusi FAA boleh dikenal pasti melalui sijil pelekat ditampal pada bahagian tepi kerusi berkenaan dan ia akan diperiksa kru pesawat sebelum dibenarkan dibawa masuk.
Menjamin keselesaan serta keselamatan anak, perkongsian @nurul_merida meraih tumpuan ramai yang rata-ratanya tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.
Pun begitu, ibu bapa disarankan untuk sentiasa merujuk kepada tetapan syarat syarikat penerbangan dinaiki untuk mengelak daripada sebarang pelanggaran undang-undang.
Setiap syarikat penerbangan memiliki undang-undang berbeza dengan pemasangan kerusi keselamatan itu juga perlu dipantau rapi oleh kru pesawat sebelum berlepas.
Dalam pada itu, Child Restraint System (CSR) atau disebut sebagai kerusi keselamatan kanak-kanak adalah sebuah kerusi direka khas yang berfungsi untuk melindungi kanak-kanak di dalam kenderaan semasa berlakunya pelanggaran.
Penggunaan CRS dalam kalangan negara maju adalah tidak asing bagi mengurangkan impak pelanggaran kepada penumpang kanak-kanak dan seterusnya mengelakkan kecederaan parah dan kematian.
Sejak 2021, kerajaan telah mewajibkan penggunaan kerusi CRS di dalam kenderaan bagi melindungi si kecil daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram