Wira tak didendang cetus inspirasi buat generasi masa depan


  • Bisnes
  • Selasa, 17 Jun 2025

Chan (tengah) bersama Melati (enam kanan) pada majlis pelancaran SGHA 2025 bersama wakil daripada kedua-dua syarikat serta pemenang SGHA terdahulu di Menara Star di Petaling Jaya. — AZHAR MAHFOF/The Star

DALAM era yang mana tajuk utama di media massa didominasi dengan isu tular, masyarakat sering kali terlepas pandang perbuatan baik yang dilakukan orang sekeliling walhal ia merupakan asas penting yang menyatukan sesebuah komuniti.

Memasuki tahun ke-11, Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) sekali lagi kembali untuk meraikan wira-wira tidak didendang yang sanggup mengetepikan kepentingan diri demi kebaikan orang lain.

Tahun ini juga menandakan permulaan bab baharu bagi SGHA dengan penyertaan McDonald’s Malaysia sebagai penaja baharu.     

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dia jadi mata, saya jadi kaki, tangan', pasangan kekasih OKU saling melengkapi, usahakan studio seni

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa tragedi bas UPSI masih trauma, emosi belum stabil, sup tulang air tangan bapa jadi 'penawar'

Seiring dengan kerjasama tersebut, satu kategori baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Jiwa Prihatin McDonald's, satu pengiktirafan khas kepada individu atau kumpulan akar umbi yang menunjukkan sifat prihatin melalui tindakan penuh kasih sayang mereka sehingga berjaya memperbaiki kehidupan orang lain secara berterusan tanpa mengharapkan pujian.

Pencalonan bagi kategori tersebut dibuka pada Isnin (16 Jun) dan akan berlangsung selama lapan minggu sehingga 10 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media (SMG), Chan Seng Fatt berkata, kerjasama tersebut mencerminkan nilai kebersamaan serta misi seiring kedua-dua pihak. 

"Secara bersama-sama, SMG dan McDonald’s Malaysia komited untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin dengan meraikan wira tak didendang yang membuat perubahan sebenar melalui belas kasihan dan tindakan.

"Kami percaya dengan kuasa penceritaan untuk menyerlahkan impak mereka, dan kini dengan sokongan McDonald’s Malaysia, kami mampu memperluaskan capaian dan mengangkat lebih banyak suara rakyat Malaysia," katanya semasa majlis pelancaran di Menara Star pada Isnin.

Mengulas tema tahun ini, 'Mengiktiraf Yang Tidak Didendang, Mencetus Inspirasi Untuk Generasi Akan Datang', Chan menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sebuah larian obor.

“Kita nyalakan obor untuk menerangi laluan ke hadapan, agar orang lain dapat mengikutinya dan suatu hari nanti menyambung perjuangan itu. Mesejnya cukup jelas, perubahan sebenar bermula dengan hati yang penyayang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai turut menyuarakan sokongan penuh terhadap misi SGHA.

 

Pencalonan SGHA dibuka bermula Isnin (16 Jun) dan akan berlangsung selama lapan minggu sehingga 10 Ogos.

 

“Wira-wira yang diraikan SGHA, guru yang sanggup berkorban lebih, mentor belia, sukarelawan bank makanan, pelindung hidupan liar, pasukan penyelamat banjir - merekalah cerminan terbaik dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Mereka tidak mencari pengiktirafan atau mengejar ganjaran. Mereka bertindak kerana empati, prinsip dan rasa tanggungjawab sesama insan.

"Dalam dunia hari ini yang serba pantas dan sering terbahagi, keberanian sebegini amat berharga,"  ujarnya.

Sementara itu, Melati berkata, McDonald’s Malaysia komited untuk terus menjadi penyumbang positif kepada masyarakat Malaysia, bukan hanya untuk hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang.      

Sebagai sebahagian daripada majlis pelancaran, dua penerima SGHA terdahulu, Pengurus Besar Food Aid Foundation, Afraz Said dan Presiden Serantau International Council for Education of People with Visual Impairment, Silatul Rahim Dahman berkongsi pengalaman mereka selepas menerima anugerah tersebut.

Para tetamu turut menyertai aktiviti lawatan dan berinteraksi di gerai-gerai yang dikendalikan oleh penerima SGHA terdahulu seperti Reef Check Malaysia, The Asli Co, WWF-Malaysia, Helping Hands Penan, MYReaders dan Food Aid Foundation.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Chan dan Melati serta disertai barisan panel hakim.

Chan (tiga kiri) berkata, kerjasama antara SMG dan McDonald’s mencerminkan nilai kebersamaan serta misi seiring kedua-dua pihak.  — AZHAR MAHFOF/The Star

Ketua juri yang baharu dilantik ialah Tan Sri Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon, seorang tokoh korporat yang terkenal dengan komitmennya dalam memajukan kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti melalui kepimpinan lestari.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng. 

SGHA tahun ini akan memilih 10 penerima cemerlang yang akan dipilih oleh panel juri profesional yang mewakili pelbagai bidang berkaitan impak sosial.

Pemenang akan menerima jumlah hadiah wang tunai RM90,000, menerima liputan media meluas di semua platform SMG dan mendapat akses eksklusif kepada SGHA Winners Network.

SGHA mengiktiraf sumbangan luar biasa rakyat Malaysia dalam lima teras utama iaitu pemerkasaan komuniti, pendidikan, alam sekitar dan hidupan liar, kebajikan sosial serta bantuan bencana dan krisis. 

Sejak diperkenalkan pada 2015, anugerah tersebut telah menghargai lebih 100 individu dan organisasi yang memberi inspirasi, mengubah kehidupan dan mengukuhkan komuniti di seluruh negara.

Pencalonan telah dibuka bermula Isnin (16 Jun) dan akan berlangsung selama lapan minggu sehingga 10 Ogos.

Orang ramai dijemput untuk mencalonkan individu atau organisasi yang menepati lima bidang utama SGHA dan pencalonan sendiri juga dialu-alukan.

Untuk maklumat lanjut atau untuk menghantar pencalonan boleh layari https://www.sgha.com.my/. — The Star/ JUNAID IBRAHIM dan GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram