[VIDEO] 'Kami saling mempercayai', Eyka Farhana tenang hadapi perkahwinan jarak jauh


  • Cinta
  • Selasa, 17 Jun 2025

Akhyar tidak pernah mempertikaikan komitmen Eyka Farhana sebagai pelakon dan sangat menyokong kerjayanya sejak awal perkenalan. — Instagram/eykafarhana

MEMBUKA bicara tentang fasa baharu kehidupannya selepas bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, pelakon, Eyka Farhana menekankan betapa pentingnya kepercayaan dan persefahaman dalam membina rumah tangga.

Apatah lagi, Eyka Farhana dan suaminya, Akhyar Rashid ketika ini masih menjalani hubungan jarak jauh dek kekangan karier masing-masing.

Bagaimanapun pemilik nama penuh Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 30, itu mengakui, selepas mendirikan rumah tangga, dinamika perhubungan mereka menjadi lebih fleksibel dan penuh tolak ansur.

BACA LAGI: 'Bangga baju warisan pusaka', Eyka Farhana-Akhyar berbusana songket serikan majlis resepsi di Kedah

BACA LAGI: ‘Can’t wait to call to call you my soulmate, my husband’, Eyka Farhana-Akhyar Rashid dilaporkan sah diijabkabulkan 24 jam selepas hari jadi

Kedua-duanya saling bertolak ansur dan sentiasa menyusun waktu untuk berjumpa. — Instagram/eykafarhana

"Kerja Eyka sangat fleksibel. Eyka boleh pilih masa untuk bersama Akhyar apabila tiada komitmen kerja. 

"Penggambaran pula ambil masa sebulan dua, kemudian Eyka boleh rehat dan habiskan masa dengan dia pula," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, walaupun sibuk dengan jadual kerja yang tidak menentu, pasangan itu saling menyusun waktu untuk berjumpa.

"Kalau Akhyar cuti pun, dia akan cuba datang Kuala Lumpur. Eyka rasa sekarang semua masih okey. 

"Cuma Insya-ALLAH, kalau diberi rezeki zuriat, mungkin akan ada perubahan dan perancangan baharu,” ujarnya.

Bintang drama Pretty Little Liars itu turut menegaskan bahawa kepercayaan menjadi tunjang utama dalam perkahwinan mereka. 

Justeru, beliau berusaha memastikan suaminya benar-benar memahami dunia kerjayanya sebagai anak seni.

“Sejak sebelum kahwin pun, Eyka memang nak Akhyar faham kerja ini, saya nak dia tahu macam mana bekerja, pergi penggambaran, hadiri acara dan sebagainya. 

"Daripada situ dia boleh faham dan lebih percaya pada saya,” jelas Eyka.

Katanya lagi, setakat ini Akhyar tidak pernah mempertikaikan komitmennya sebagai pelakon dan sangat menyokong kerjayanya sejak awal perkenalan mereka.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Mei lalu di sebuah majlis yang berlangsung di Boathouse By The Lake Ampang, Kuala Lumpur, selepas beberapa tahun menyulam cinta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram