
SEORANG bekas guru prasekolah di Singapura mengaku bersalah atas pertuduhan mendera seorang bayi perempuan berusia 20 bulan dengan menolaknya sebanyak empat kali menggunakan kaki sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada wajah dan pendarahan hidung.
Tertuduh, Saiidah Kamarudin, 34, membuat pengakuan itu di hadapan mahkamah pada Isnin atas satu pertuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.
Beliau kini dilaporkan tidak lagi berkhidmat di prasekolah berkenaan.
BACA LAGI: Dera anak hingga disahkan OKU, bapa fail saman RM1.2 juta terhadap pemilik pusat asuhan, 3 pengasuh
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Wenjie, kejadian berlaku tidak lama selepas Saiidah menyerahkan notis peletakan jawatan pada 12 Oktober 2023.
Identiti dan lokasi prasekolah tersebut tidak didedahkan atas arahan mahkamah.
Pada 6 November 2023, tertuduh ditugaskan membantu mengawasi sekumpulan kanak-kanak melakukan aktiviti bermain sambil belajar, yang turut disertai mangsa.
Beberapa minit sebelum pukul 12.30 tengah hari, Saiidah membawa mangsa ke tandas untuk membersihkannya.
Ketika membersihkan wajah mangsa, Saiidah dengan sengaja menggunakan kaki kanannya untuk menyapu dari kiri ke kanan sehingga terkena kaki kiri mangsa dan menyebabkannya tersadung, namun tidak terjatuh.
Tanpa belas kasihan, tertuduh mengulangi perbuatan itu buat kali kedua, menyebabkan bayi tersebut terjatuh ke belakang.
Saiidah kemudian mengangkat semula mangsa dan menyambung membersihkannya menggunakan tisu.
Ketika mereka hendak meninggalkan tandas, wanita itu sekali lagi menolak mangsa dari belakang hingga bayi berkenaan tersadung ke hadapan tetapi berjaya menstabilkan langkahnya.
Namun, tepat pukul 12.30 tengah hari, Saiidah menolak mangsa buat kali keempat.
Kali ini, mangsa jatuh ke hadapan, menghentam wajahnya ke lantai dan mula menangis kesakitan.
Seorang guru lain yang mendengar tangisan mangsa datang dan mendapati hidungnya berdarah selain terdapat lebam di bawah hidungnya.
Mangsa kemudian diberi rawatan awal dan ditidurkan oleh guru tersebut.
Apabila dia bangun daripada tidur, bahagian kanan wajahnya kelihatan bengkak.
Menurut Wenjie, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di prasekolah itu turut mengesahkan tindakan Saiidah.
Mangsa dibawa ke klinik oleh ibu bapanya pada 8 November dan laporan perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam ringan di bawah lubang hidung kanan.
Dua hari kemudian, bapa mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak prasekolah.
Beliau turut meminta untuk menonton rakaman CCTV insiden tersebut.
Menurut pihak pendakwaan, tempoh pekerjaan Saiidah di prasekolah itu tamat pada 14 November 2023 dan beliau ditahan pihak berkuasa pada 18 April 2024.
Mahkamah menetapkan prosiding mitigasi dan hukuman akan berlangsung pada 28 Julai ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram