Selain tidur lebih nyenyak, berenang jadikan anak anda makin bijak


  • Sihat
  • Isnin, 02 Jun 2025

Berenang secara berkala boleh mengurangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan strok. — Gambar Hiasan/ Agensi

BERENANG bukan hanya aktiviti rekreasi semata-mata. Ia sebenarnya menyimpan pelbagai manfaat kesihatan yang mampu mengubah gaya hidup kita ke arah lebih sihat dan seimbang. 

Jika selama ini anda lebih cenderung kepada latihan kekuatan, senaman senaman berintensiti tinggi (HIIT) atau Pilates, mungkin sudah tiba masa untuk menyelitkan aktiviti renang ke dalam rutin senaman mingguan anda.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK (NHS), berenang secara berkala boleh mengurangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan strok. 

BACA LAGI: [VIDEO] Sapu muka dengan krim buasir? Pakar dedah risiko bahaya trend TikTok

BACA LAGI : Putus haid sebelum usia 40? Ramai masih tak tahu punca menopaus pramatang

Ia juga membantu meningkatkan kapasiti paru-paru dan kecergasan menyeluruh.

Bersama jurulatih renang dari Swimming Nature, Emily Morrissey, beliau berkongsikan beberapa manfaat utama berenang yang mungkin boleh meyakinkan anda untuk menyertai aktiviti renang.

1. Berenang boleh menenangkan minda dan meningkatkan kesihatan mental

Apabila melakukan aktiviti renang, anda akan berada di dunia sendiri dan berasa lebih tenang. — Gambar hiasan/ Agensi

Apabila anda berada di dalam air, anda akan berada dalam dunia sendiri. Tiada gangguan seperti media sosial atau skrin digital. 

Menurut Morrissey, ramai individu melaporkan bahawa hanya dengan berada di dalam air, mereka berasa lebih tenang dan kurang tertekan. 

"Senaman berkala membantu mengurangkan kebimbangan dan kemurungan kerana ia merangsang pengeluaran hormon 'gembira' serta memastikan fungsi otak kekal sihat," katanya. 

Apabila anda menyesuaikan diri dengan rentak pernafasan semasa berenang, ia dapat membantu menenangkan sistem saraf. 

Pengeluaran endorfin akan meningkat, sekaligus mengurangkan tekanan dan kebimbangan. Hasilnya, anda akan rasa lebih segar secara mental dan fizikal selepas sesi renang. 

Bagi mereka yang lebih berani, berenang di kawasan terbuka boleh memberikan pengalaman yang sangat menyeronokkan.

2. Berenang adalah cara terbaik untuk meningkatkan kecergasan dan jisim otot

Berenang melibatkan hampir semua otot badan kerana setiap pergerakan menentang rintangan air. — Agensi/Gambar Hiasan

Garis panduan kesihatan NHS mencadangkan individu berusia antara 19 hingga 64 tahun perlu melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik sederhana setiap minggu untuk kekal sihat.

Morrissey menjelaskan, berenang melibatkan hampir semua otot badan kerana setiap pergerakan menentang rintangan air. Ini membantu membina kekuatan dan nada otot dengan cara yang seimbang. 

Anda mungkin mula melihat otot menjadi lebih tegang dan kukuh, terutamanya di bahagian lengan, bahu dan paha.

3. Renang memberikan tekanan rendah pada badan, sangat sesuai untuk mereka yang mengalami masalah sendi

Menggantikan beberapa sesi latihan dengan renang di kolam boleh memberi manfaat besar kepada mereka yang mengalami masalah sendi. — Gambar hiasan/Agensi

Mengalami lutut atau buku lali yang sakit? Anda bukan seorang diri. Senaman intensiti tinggi seperti berjoging atau latihan kardio yang mencabar di rumah boleh memburukkan lagi sakit sendi yang sudah ada. 

Namun, menggantikan beberapa sesi latihan dengan renang di kolam boleh memberi manfaat besar kepada kesihatan anda.

Ini kerana air menyokong sehingga 90 peratus berat badan anda, menjadikannya senaman kardiovaskular yang lebih lembut pada badan berbanding berlari atau melompat. 

Malah, berenang sangat bermanfaat untuk individu yang mengalami kecederaan atau masalah kesihatan seperti arthritis.

4. Berenang membantu anda tidur lebih lena pada waktu malam.

Berenang mampu membantu meningkatkan kualiti tidur. — Gambar Hiasan/Agensi

Senaman aerobik seperti aktiviti kardio diketahui mampu meningkatkan kualiti dan tempoh tidur, sekali gus menambah lagi kelebihan renang. Ini tentu sahaja berita baik buat mereka yang sering bergelut dengan masalah tidur.

Kajian menunjukkan bahawa senaman aerobik seperti berenang dapat meningkatkan kualiti tidur.

Gabungkan dengan tabiat tidur yang baik dan anda akan lebih mudah untuk tidur nyenyak.

5. Aktiviti berenang sangat selamat untuk wanita hamil dan bayi.

Kajian menunjukkan bahawa wanita hamil yang berenang pada peringkat awal hingga pertengahan kehamilan mempunyai risiko lebih rendah mengalami kelahiran pramatang. — Agensi/Gambar hiasan

Setiap kehamilan adalah berbeza, oleh itu adalah penting untuk berunding dengan doktor sebelum memulakan sebarang rutin senaman.

Secara umum, salah satu kelebihan utama renang ialah ia merupakan bentuk senaman yang selamat untuk ibu mengandung. Air membantu menyokong badan dan perut, selain dapat mengurangkan bengkak pada buku lali dan kaki.

Lebih menarik, kajian menunjukkan bahawa wanita hamil yang berenang pada peringkat awal hingga pertengahan kehamilan mempunyai risiko lebih rendah mengalami kelahiran pramatang dan kecacatan kongenital.

Satu kajian lain pula mendapati tiada kesan buruk daripada berenang di kolam berklorin sepanjang tempoh kehamilan.

Justeru, renang adalah pilihan yang baik dan selamat bagi ibu hamil yang ingin kekal aktif dan sihat.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh US National Library of Medicine, wanita yang berenang semasa trimester awal kehamilan kurang berisiko untuk mengalami kelahiran pramatang dan kecacatan kelahiran.

6. Setiap gaya renang memberikan faedah yang berbeza kepada tubuh badan.

Memberi perhatian khusus kepada bahagian-bahagian tertentu semasa berenang membantu memberikan senaman yang lebih berkesan dan seimbang. — Gambar hiasan/Agensi

Contohnya, gaya kuak dada melibatkan otot dada, belakang dan kaki, gaya bebas lebih menumpukan pada bahu dan lengan; manakala kuak lentang boleh membantu memperbaiki postur dan menguatkan otot teras. 

Gaya kupu-kupu pula merupakan yang paling mencabar dan boleh membakar kalori paling banyak.

Pada masa sama, mempelajari gaya renang baharu dan melihat peningkatan prestasi merupakan satu kepuasan besar.

Ia bukan sahaja menjadikan latihan lebih menarik, malah menukar gaya renang secara berkala dapat memberi rehat kepada otot dan sendi daripada pergerakan berulang, terutamanya jika anda berenang dalam tempoh yang panjang.

Morrissey berkata, setiap gaya renang saling melengkapi. 

"Untuk memperbaiki teknik, Morrissey mencadangkan agar setiap gaya dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil sebelum digabungkan semula.

"Memberi perhatian khusus kepada bahagian-bahagian tertentu semasa berenang bukan sahaja membantu meningkatkan teknik keseluruhan, malah memberikan senaman yang lebih berkesan dan seimbang," katanya. 

7. Renang bantu redakan tekanan dan tingkatkan mood secara semula jadi

Apabila anda berenang, tubuh secara semula jadi mengurangkan hormon stres seperti kortisol dan adrenalin. — Gambar Hiasan/Agensi

Senaman sememangnya terkenal sebagai penggalak mood, tetapi tahukah anda bahawa renang turut membantu mengurangkan kesan tekanan dari sudut kimia tubuh?

Apabila anda berenang, tubuh secara semula jadi mengurangkan hormon stres seperti kortisol dan adrenalin, sambil meningkatkan penghasilan endorfin, bahan kimia semula jadi yang menjadikan anda berasa lebih tenang dan gembira.

Jika anda berdepan tekanan di tempat kerja atau dalam kehidupan seharian, luangkan sedikit masa untuk bergerak sama ada di kolam renang atau melalui aktiviti fizikal lain.

Lebih menarik, kajian juga menunjukkan bahawa renang boleh memberikan kesan yang setanding dengan yoga dalam membantu meredakan simptom kemurungan dan kebimbangan.

8. Berenang membantu mereka yang mempunyai masalah mobiliti

Aktiviti renang dapat membantu membina kekuatan kardiovaskular dan otot tanpa memberi tekanan tambahan. — Gambar Hiasan/Agensi

Ramai antara kita sering mengambil mudah nikmat pergerakan bebas. Namun, pada satu tahap dalam kehidupan, anda mungkin mengalami kecederaan ringan atau pergerakan yang terhad. Pada waktu-waktu inilah, aktiviti renang boleh menjadi pilihan terbaik.

Menurut Morrissey, disebabkan oleh pengurangan berat badan dan tekanan ke atas sendi, renang membolehkan seseorang bergerak dengan cara yang mungkin sukar dilakukan di daratan, hasil daripada sokongan semula jadi yang diberikan oleh air.

Memandangkan sebahagian besar tubuh digunakan secara berterusan ketika berada di dalam kolam, aktiviti renang dapat membantu membina kekuatan kardiovaskular dan otot tanpa memberi tekanan tambahan kepada kecederaan sedia ada.

Namun begitu, individu yang mengalami kecederaan dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan pakar sebelum memulakan sebarang aktiviti di dalam air.

Renang juga sangat bermanfaat kepada wanita yang mengalami multiple sclerosis (MS)

Sklerosis berbilang atau multiple sclerosis (MS) adalah penyakit autoimun yang menjejaskan otak, saraf optik dan saraf tunjang (sistem saraf pusat).

Air membantu menyokong tubuh semasa bersenam. Satu kajian mendapati bahawa selepas berenang selama 20 minggu, wanita dengan MS mengalami pengurangan tahap kesakitan dan keletihan yang ketara.

8. Berenang dapat membantu meningkatkan kecerdasan

Aktiviti renang mampu merangsang perkembangan kecerdasan kanak-kanak seawal usia lima tahun ke bawah.— Gambar Hiasan/Agensi

Satu kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pendidikan Griffith, Australia, mendapati bahawa aktiviti renang mampu merangsang perkembangan kecerdasan kanak-kanak seawal usia lima tahun ke bawah.

Kajian yang melibatkan lebih 7,000 kanak-kanak itu menunjukkan bahawa mereka yang terlibat secara aktif dalam aktiviti renang sejak kecil berupaya menguasai pelbagai kemahiran lebih awal berbanding rakan sebaya yang tidak berenang.

Antara kemahiran yang dikenal pasti ialah kecekapan motor, bahasa dan asas matematik, sekali gus membuktikan bahawa renang bukan sahaja baik untuk fizikal, malah memberi kesan positif terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak.

Menurut penyelidik, pendedahan awal kepada aktiviti fizikal seperti renang boleh memberi kelebihan dari segi pertumbuhan menyeluruh serta meningkatkan keupayaan pembelajaran di peringkat awal usia. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram