SEORANG guru yang disyaki mendera seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga mengalami lebam di pipi dan telinga di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini akan didakwa pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek yang juga wanita berusia 24 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang.
“Polis sudah mendapat arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Suspek akan dituduh pada 20 Disember 2024 (esok) di Mahkamah Sesyen Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Reman terhadap suspek yang berakhir pada Rabu dilaporkan disambung sehingga Jumaat dengan polis turut merakam percakapan daripada lima individu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kira-kira pukul 6.50 petang Sabtu lalu selepas polis menerima aduan daripada bapa bayi berkenaan.
Penjaga mangsa dilaporkan menyedari kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanak anaknya ketika mengambil bayi berkenaan pada pukul 6.15 petang Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram