
IBU menyusu tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan pam elektrik dalam tempoh 30 hari pertama usai kelahiran bayi.
Sebaliknya, mereka digalakkan untuk mempraktikkan teknik perahan tangan atau skil marmet yang terbukti lebih berkesan dalam membantu pengeluaran susu awal.
Menurut Pakar Tangisan Bayi Baru Lahir, Nurain Isahak, penggunaan pam terlalu awal boleh memberi tekanan kepada payudara, sekali gus mengganggu penghasilan susu secara semula jadi.
BACA LAGI: Tanggungjawab bapa dalam Islam, cabaran, peranan tak berubah walau era moden
Apa itu skil marmet?
Skil marmet merujuk kepada kaedah perahan tangan yang dilakukan secara lembut dan semula jadi untuk mengeluarkan susu dari payudara.
Kajian antarabangsa menjelaskan bahawa kaedah itu membantu merangsang hormon prolaktin dan oksitosin yang memainkan peranan penting dalam penghasilan susu ibu.
Antara kelebihan teknik marmet termasuklah:
- Lebih selamat untuk tisu payudara yang masih sensitif selepas bersalin.
- Boleh mengeluarkan kolostrum dengan lebih berkesan.
- Tidak memerlukan sebarang peralatan elektrik atau bateri.
- Membantu ibu lebih memahami perubahan pada payudara mereka.
Risiko pam terlalu awal
Menggunakan pam susu terlalu awal berisiko menyebabkan:
- Kecederaan tisu payudara akibat sedutan pam.
- Pengeluaran susu menjadi tidak konsisten atau terlalu sedikit.
- Payudara tidak dikosongkan sepenuhnya, meningkatkan risiko bengkak susu.
- Mengganggu proses penyusuan terus (direct latch) antara ibu dan bayi.
Namun, teknik berkenaan juga memerlukan kemahiran dan tenaga fizikal yang baik kerana boleh mengakibatkan kecederaan kepada ibu jika tersilap langkah.
Perlakuan yang tidak betul seperti memicit, menarik atau menggeser payudara boleh menyebabkan kesan lebam, lecet atau kecederaan pada tisu sensitif.
Ekspresi tangan vs pam susu
Walaupun pam susu elektrik menjadi pilihan utama ramai ibu moden, teknik marmet dilaporkan lebih efisien dalam sesetengah situasi terutamanya bagi ibu yang menghadapi saluran susu tersumbat atau payudara bengkak.
Kelebihan skil marmet:
- Boleh dilakukan bila-bila masa dan mudah untuk diterima bayi
- Lebih semula jadi dan mudah merangsang hormon.
- Membantu ibu memahami fungsi tubuh mereka sendiri.
Kelemahan:
- Memerlukan masa dan ketahanan tangan yang sangat tinggi.
- Tidak secekap pam elektrik yang mampu menghasilkan susu dari dua belah payudara serentak.
- Mengambil masa lama untuk mengosongkan keseluruhan payudara secara berkesan.
Dalam usaha menyokong penyusuan susu ibu, pemilihan kaedah perahan yang sesuai dan selamat memainkan peranan penting.
Skil marmet bukan sahaja menjadi pilihan, tetapi turut membantu dalam penyesuaian hormon serta kestabilan emosi dalam tempoh ibu berpantang.
Dengan bimbingan yang betul, ibu menyusu dapat memulakan perjalanan penyusuan dengan lebih yakin dan selesa tanpa tekanan dan kebergantungan awal kepada pam elektrik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram