
TRAGEDI nahas meragut nyawa seorang guru wanita yang maut ditikam anak kandungnya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka pada Khamis meninggalkan kesan mendalam di hati masyarakat.
Turut mengorbankan seorang lagi mangsa yang merupakan anak sulungnya, motif kejadian dikatakan berpunca akibat dendam dan tekanan perasaan pelaku didakwa kerap dileter mangsa.
Disahkan meninggal dunia di kediamannya, polis menahan suspek yang ketika itu difahamkan sedang termenung, selain turut menemukan senjata pisau lipat digunakan ketika kejadian.
Menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat setempat, rata-rata menyuarakan kebimbangan terhadap isu kekeluargaan yang semakin terdedah kepada kes bunuh dan keganasan kebelakangan ini.
Namun, hantaran dimuat naik di laman Facebook Vernita Boon beberapa hari sebelum kejadian, meraih tumpuan warga maya yang melihat ia sebagai salah satu petanda awal terhadap tragedi hitam itu.
Mendiang Vernita Boon dilaporkan maut lepas ditikam di kediamannya dekat Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.
Seolah-olah sudah lama memendam rasa dan perasaan atas kemelut melanda keluarganya, mangsa berusia 51 tahun itu berkongsi petikan teks yang menuntut kasih sayang sesama adik-beradik.
"Jagalah hubungan adik-beradik, bila mak dan ayah dah tiada nanti merekalah tempat kita menumpang kasih.
"Benci, gaduh, marah sekali pun, mereka tetap adik-beradik kita dunia akhirat," jelas hantaran itu.
Dilihat sebagai satu bentuk pesanan buat anak-anaknya, ramai meluahkan ucapan takziah atas insiden tragis yang menimpa keluarga tersebut.
Dalam pada itu, dua lagi mangsa iaitu abang dan adik bongsu suspek turut tercedera ketika cuba meleraikan pergelutan yang berlaku.
Hasil pemeriksaan awal polis menemukan beberapa kesan tikaman pada mangsa seperti di leher, pinggang dan belakang manakala mayat kedua beranak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Mangsa yang cedera parah turut dirawat di hospital sama dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram