
DALAM dunia yang jarang memberi ruang kepada pasangan orang kelainan upaya (OKU) untuk menonjol, sepasang kekasih dari Singapura tampil memecah stereotaip, bukan sahaja dengan kisah percintaan mereka, tetapi juga karya seni yang menyentuh hati.
Shalom Lim, 29, yang menghidap distrofi otot duchenne (DMD) dan bergantung sepenuhnya pada kerusi roda serta ventilator dan Amanda Yip, 38, yang mengalami masalah penglihatan kekal akibat retinitis pigmentosa, kini mencipta langkah tersendiri dalam dunia seni menerusi studio mereka, Rebirth Ensemble.
Pasangan itu mula berkenalan dua tahun lalu dan sejak itu, kedua-duanya menyedari betapa mereka saling melengkapi secara fizikal dan emosi.
BACA LAGI: Tiada dalil spesifik siapa wajib masak, tak perlu banding tanggungjawab suami isteri — Firdaus Wong
“Apabila bersama, kami rasa seolah-olah ketidakupayaan itu hilang. Saya boleh jadi tangan dan kaki Shalom dan beliau boleh jadi mata saya,” ujar Amanda, memetik laporan berita antarabangsa.
Studio Rebirth Ensemble yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu dengan sokongan Temasek Polytechnic, berhasrat menjadikan seni halus lebih inklusif untuk semua golongan, khususnya mereka yang mengalami kekurangan dari segi penglihatan, mobiliti, pendengaran atau deria lain.
Antara fokus utama ialah mencipta karya seni tiga dimensi yang boleh disentuh, agar orang buta atau rabun seperti Amanda dapat menghargai keindahan seni melalui deria sentuhan.
Mereka turut merancang untuk menghasilkan karya yang boleh didengar, dihidu, malah mungkin dirasa pada masa depan.
Pasangan tersebut turut menghantar penyertaan untuk Singapore Art Week pada Januari 2026 dan berharap dapat mempersembahkan pameran sulung mereka kepada umum.
Mereka ketika ini sedang menyiapkan karya menggambarkan gunung ais yang muncul dari laut di bawah langit malam berbintang, hasil kerjasama antara deria dan kepercayaan.
Shalom, yang sudah tidak berupaya menggerakkan tangannya, memberi panduan kepada Amanda dalam meletakkan warna dan menyapu pastel di atas kanvas.
Komunikasi dua hala yang terperinci menjadi kunci hasil seni mereka.
“Secara tradisional, seni halus lebih kepada apa yang dapat dilihat, tetapi daripada perspektif saya, dunia seni terlalu elitis dan tidak mesra OKU. Kami mahu ubah realiti tersebut,” ujar Shalom.
Shalom (kanan) dan Amanda bersama karya seni yang mereka hasilkan bersama. — Agensi
Hampir maut
Amanda, bekas pekerja korporat berkelulusan Ijazah Perakaunan dan Kewangan daripada University of London, mula mengalami kemerosotan penglihatan sejak remaja.
Hobi melukis yang menjadi medium pelarian emosi sejak kecil kini semakin mencabar.
“Saya rasa hilang arah apabila tidak lagi boleh lukis macam dulu. Tak nampak garisan, warna pun samar. Rasa macam satu bahagian hidup saya dirampas,” katanya.
Bagi Shalom pula, beliau disahkan menghidap distrofi otot sejak bayi. Walaupun pernah berjalan semasa kecil, keadaannya merosot sehingga memerlukan bantuan sepenuhnya untuk bergerak dan bernafas.
Beliau menamatkan pengajian dalam bidang Kriminologi dan Keselamatan daripada University of Liverpool secara sambilan, mengambil masa enam tahun untuk bergelar graduan.
Minat terhadap seni timbul sejak kecil, banyak dipengaruhi oleh mendiang abang kandungnya, Isaac, yang turut menghidap penyakit sama.
Mereka pernah menerbitkan buku seni bersama bagi mengumpul dana untuk Muscular Dystrophy Association (Singapura) pada 2007.
Namun, selepas satu insiden hampir maut akibat pneumonia ketika berusia 17 tahun, kekuatan fizikal Shalom merosot drastik.
“Saya cuba teruskan melukis, tapi ia sangat mengecewakan. Saya tak mampu pegang kertas pun, apatah lagi membuat sapuan yang diingini.
"Semua jadi serabut, saya rasa lemah dan tidak berguna,” imbasnya.
Semangat berkarya
Pertemuan di sebuah bengkel teater pada Mac 2023 menjadi titik tolak perubahan besar dalam kehidupan Amanda dan Shalom.
Daripada sekadar rakan sekumpulan, mereka akhirnya jatuh cinta dan lebih daripada itu, keduanya menemui kembali semangat untuk berkarya yang telah lama terpendam.
Bekerjasama dalam dunia seni bukan sahaja mempererat hubungan mereka, malah menjadi detik kebangkitan semula impian seni masing-masing.
Itulah inspirasi di sebalik penubuhan syarikat seni pemula mereka, Rebirth Ensemble.
Rebirth melambangkan kelahiran semula semangat seni, manakala Ensemble mencerminkan kolaborasi sebagai pasangan.
Setakat ini, pasangan itu menghasilkan dua karya seni, iaitu lukisan pokok menggunakan pastel minyak di atas kanvas, setiap satunya memakan masa tiga sesi sejam untuk disiapkan dalam tempoh sebulan.
Apa yang tampak mudah bagi sesetengah orang, bagi mereka memerlukan ketekunan, perancangan dan niat yang mendalam.
“Seni bukan sekadar warna di atas kanvas. Setiap sapuan berus membawa cerita dan makna,” jelas Amanda.
Shalom dan Amanda ketika menyiapkan karya seni di rumah mereka. — Agensi
Impian
Shalom kini memegang peranan sebagai pengarah urusan Rebirth Ensemble, manakala Amanda adalah artis utama.
Operasi mereka berpangkalan di sebuah ruang pejabat bersubsidi di Temasek Polytechnic.
Lebih daripada sekadar perniagaan, inisiatif itu menjadi simbol cita-cita untuk berdikari, membina kerjaya bersama dan menyara kehidupan tanpa bergantung kepada orang lain.
“Saya tak boleh bekerja sepenuh masa disebabkan keadaan saya. Kalau pun boleh, pendapatan tetap tak cukup mahu capai impian kami untuk berkahwin, tinggal bersama dan miliki rumah sendiri,” kata Shalom.
Amanda pula berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan tetap meskipun memiliki lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang sumber manusia.
Pernah suatu ketika, jawatannya diubah sehingga memerlukan beliau berulang-alik antara dua lokasi.
“Apabila saya maklumkan tentang kekangan tersebut, mereka malah tidak menghormati saya. Ia sangat mengecewakan,” katanya, merujuk pada pengalaman di tempat kerja.
Buat masa ini, fokus utama mereka ialah menghidupkan semula karya seni mendiang abang Shalom ke dalam bentuk tiga dimensi yang boleh disentuh, menjadikannya lebih inklusif, terutamanya buat individu kurang penglihatan.
Antara karya yang akan diolah semula termasuk lukisan rumah api, bunga tulip, api dan laut.
Pasangan tersebut juga merancang mahu menghasilkan soundscape agar karya boleh dinikmati melalui pendengaran serta bekerjasama dengan organisasi seperti SG Enable dan The Art Faculty.
Kehidupan seharian
Bagi mereka yang tidak mengenali pasangan itu, mungkin sukar membayangkan bagaimana dua insan dengan cabaran fizikal menguruskan kehidupan seharian. Namun, sebaliknya yang berlaku.
Pergerakan mereka di rumah ibarat satu koreografi yang terlatih, tenang, teratur dan saling memahami.
Shalom menggunakan penyedut minuman kerana tidak mampu memegang cawan dan Amanda akan membantu meletakkannya di posisi yang betul.
Ketika membaca mesej di telefon, Amanda memegang peranti dan Shalom membacakan kandungan agar mereka boleh berdiskusi bersama.
“Kami saling melengkapi,” ujar Amanda.
Mereka menggemari kehidupan yang damai, berjalan di kejiranan, bermain dengan anjing peliharaan, menonton filem, berkongsi video TikTok dan menikmati hidangan ringkas bersama.
“Hubungan seperti ini jarang berlaku tapi kami mahu buktikan bahawa walaupun dengan kecacatan serius, kami tetap boleh berjaya dan menjadi siapa yang diinginkan,” tegas Shalom. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram