Konon ada kerja kosong, wanita Mumbai dakwa diganggu lelaki, tawar lebih RM200 untuk lihat pinggang


  • Maya
  • Ahad, 15 Jun 2025

Biswas berkata, mereka yang bekerja secara bebas sering menjadi mangsa gangguan terselindung di sebalik tawaran pekerjaan palsu. — Gambar hiasan

SEORANG pekerja bebas industri kreatif dari Mumbai, India, iaitu Shubhangi Biswas mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang lelaki menerusi platform rangkaian profesional di internet.

Beliau mendakwa, lelaki berkenaan menawarkan Rs5,000 (kira-kira RM247) kepadanya hanya untuk melihat pinggangnya.

Dalam satu hantaran tular, Biswas menceritakan bagaimana seorang lelaki menghantar mesej pada lewat malam dengan alasan menawarkan peluang pekerjaan. 

BACA LAGI: KPM ambil tindakan tegas guru terlibat salah laku seksual, ada 4 tip penting boleh ikuti jika anda jadi mangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan jadi mangsa gangguan seksual, pempengaruh wanita 'confront' depan-depan ketika buat 'content' di tangga

Namun, perbualan itu dengan pantas bertukar menjadi menjijikkan apabila lelaki tersebut menyatakan hasrat sebenar.

“Saya akan bayar awak, tunjukkan saja pinggang awak,” katanya. 

Wanita itu turut berkongsi tangkap layar profil dan mesej yang diterimanya sebagai bukti. 

Menurut Biswas, pada awalnya beliau menyangka ia satu peluang kerja yang sah, namun tidak lama selepas itu, lelaki terbabit mula membuat permintaan tidak senonoh yang langsung tidak berkaitan dengan sebarang urusan profesional.

“Bukan satu projek, bukan satu cadangan. Cuma wang sebagai pertukaran untuk tubuh saya,” tegasnya dalam hantaran tersebut.

Tangkap layar perkongsian Biswas mengenai kejadian itu di platform rangkaian profesional di internet.

Jelas Biswas, insiden yang menimpanya bukan kes terpencil, malah mencerminkan realiti dihadapi ramai wanita.

Tambahnya, mereka yang bekerja secara bebas sering menjadi mangsa gangguan terselindung di sebalik tawaran pekerjaan palsu.

“Orang seperti dia bergantung pada rasa malu wanita untuk berdiam diri tapi saya tidak akan melindungi reputasinya dengan mengorbankan maruah saya,” katanya lagi.

Dalam satu hantaran susulan, Biswas turut memuat naik tangkap layar perbualan bersama lelaki berkenaan selain mendedahkan nombor telefon yang digunakan. 

Beliau mendakwa, selepas ditegur, lelaki itu segera meminta maaf, menyalahkan alkohol dan terus menghantar panggilan suara serta mesej bersifat manipulatif secara emosi.

“Apabila seseorang bersuara, orang akan kata kita melebih-lebih. Jadi ini buktinya (merujuk tangkap layar dikongsikan),” ujar Biswas.

Beliau turut memaklumkan, salah satu panggilan mengandungi kenyataan lebih tidak senonoh telah dirakam, namun tidak dapat dimuat naik ke platform internet berkenaan.

Walau bagaimanapun, rakaman tersebut disimpan sebagai bukti sekiranya diperlukan.

Tindakan mendedahkan insiden itu mendapat sokongan meluas warga maya, dengan rata-rata memuji akan keberaniannya. 

Dalam masa sama, segelintir pengguna menyatakan kemarahan terhadap penyalahgunaan platform profesional untuk tujuan tidak bermoral.

Tidak kurang juga yang tampil berkongsi pengalaman serupa menerima mesej dan ‘tawaran kerja’ berunsur gangguan yang berselindung di sebalik wajah profesional. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram