[VIDEO] Kanak-kanak 5 tahun sambut majlis graduasi tadika bersama ibu di luar tembok penjara


  • Bonda
  • Ahad, 15 Jun 2025

Tangkap layar memaparkan gelagat budak perempuan tersebut sambil diperhatikan ibunya dari dalam penjara.

MAJLIS graduasi lazimnya menjadi saat penuh kebanggaan yang diraikan ibu bapa sebagai simbol penghargaan terhadap usaha dan kejayaan anak.

Namun, bagi seorang kanak-kanak perempuan berasal dari Filipina, momen indah itu disambut dalam keadaan cukup berbeza.

Budak berusia lima tahun itu hanya mampu menyambutnya di luar tembok penjara, di hadapan ibunya yang sedang menjalani hukuman.

BACA LAGI: [VIDEO] Dedikasi buat 'omma', pencipta kandungan Korea Selatan sanggup berhenti kerja, bina jenama pes autentik Korea halal di Malaysia

BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya gaya Gen Z

 

 

Kisah menyayat hati tersebut berlaku sejurus selepas tamatnya majlis graduasi tadika kanak-kanak berkenaan.

Ditemani ibu saudaranya yang kini menjadi penjaga, si kecil terus menuju ke Penjara Bandar Cabadbaran di Mindanao demi memenuhi permintaan ibunya yang ingin melihat anaknya mengenakan jubah dan topi graduasi.

Detik penuh emosi itu menyaksikan kanak-kanak berkenaan berdiri di luar bangunan penjara, lengkap dalam pakaian graduasinya.

Beliau berinteraksi dari jauh dengan ibunya yang hanya mampu menghulurkan tangan dari celahan jeriji besi di tingkat dua bangunan tersebut.

Dari bawah, si anak mencari sudut yang membolehkan ibunya melihat dengan jelas, walau cuma seketika.

Adegan menyentuh perasaan tersebut dirakam dan dimuat naik di media sosial baru-baru ini oleh ibu saudara kanak-kanak itu, yang juga kakak kepada si ibu.

Bukan sasaran utama

Memetik laporan portal antarabangsa, ibu saudara kanak-kanak itu berkata, kakaknya yang berusia 27 tahun tersebut bukanlah sasaran utama dalam kes dadah pada tahun lalu.

“Beliau bukan sasaran, tapi kebetulan berada di rumah yang diserbu pihak berkuasa," katanya.

Si ibu kini ditahan selama 10 bulan di bawah seliaan Biro Pengurusan dan Penjara (BJMP).

Apabila ditanya mengapa tidak menyambut majlis secara langsung di dalam penjara, ibu saudara itu menjelaskan bahawa kekangan kewangan menjadi halangan utama.

“Boleh saja kami masuk tapi sebab tiada duit untuk bajet makanan, kadang-kadang kami hanya bercakap sekejap di tingkap dari luar,” tulisnya dalam satu hantaran Facebook.

Dalam keadaan serba kekurangan itu, ibu saudara berkenaan tetap gigih memainkan peranan sebagai penjaga sementara, membantu anak saudaranya menghadapi situasi penuh mencabar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram