'Ada yang baru tamat sekolah', Gen Z pilih jadi bapa awal, cipta definisi baharu keluarga moden


  • Bonda
  • Ahad, 15 Jun 2025

Bapa muda biasanya lebih bertenaga dan mudah menyesuaikan diri dengan teknologi serta pengetahuan keibubapaan moden.

FENOMENA lelaki muda bergelar bapa semakin ketara di Malaysia, dengan data terkini menunjukkan peningkatan sebanyak lapan peratus dalam kalangan bapa berumur 24 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), walaupun sebahagian mereka masih muda, ada yang baru tamat persekolahan, namun jumlah bayi dilahirkan oleh bapa dalam kategori umur itu meningkat daripada 25,707 pada 2021 kepada 27,798 pada 2023.

Setiausaha Kehormat Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr Loh Huey Wen menjelaskan, peningkatan itu bukan sekadar berpunca daripada kehamilan tidak dirancang, tetapi melibatkan perubahan pandangan generasi muda terhadap kehidupan berkeluarga, kestabilan kewangan dan pengaruh agama serta budaya.

BACA LAGI: Dari Sheikh Muszaphar hingga Zaquan Adha, 5 bapa bina keluarga besar penuh harmoni

BACA LAGI: [VIDEO] Mula-mula sekadar ‘baby sitter’, pengorbanan bapa latih anak main pingpong sejak PKP mulai tuai hasil

“Ramai pasangan kini memilih untuk membina keluarga awal supaya dapat menikmati kebebasan dan kualiti hidup yang lebih baik menjelang usia 40-an.

"Media sosial memainkan peranan besar dalam mencorakkan persepsi tersebut apabila ramai ibu bapa muda berkongsi pengalaman keibubapaan yang kelihatan menyeronokkan dan penuh ganjaran emosi,” katanya.

Ramai pasangan memilih membina keluarga awal supaya dapat menikmati kebebasan dan kualiti hidup yang lebih baik menjelang usia 40-an.

Peranan keluarga

Dr Huey Wen menambah, sokongan keluarga dalam bentuk tempat tinggal, penjagaan anak dan bantuan kewangan memberikan rasa selamat kepada pasangan muda, menjadikan pemilikan rumah atau pendapatan tetap bukan lagi syarat utama untuk memulakan keluarga.

Sementara itu, Pengasas bersama Better Dads Malaysia (BDM), Jason Leong berkata, terdapat pengaruh kuat daripada jangkaan budaya dan keagamaan yang menyokong pembentukan keluarga pada usia muda.

“Malah ada pasangan muda yang memilih untuk mempunyai anak awal kerana boleh bergantung kepada ibu bapa atau mertua yang masih bertenaga untuk membantu menjaga cucu,” katanya.

Selangor mencatat jumlah tertinggi bapa muda dengan 3,974 kelahiran pada 2023, diikuti Sabah (3,683) dan Johor (3,302).

Namun, dari segi peratusan, Sarawak berada di kedudukan tertinggi dengan 8.7 peratus kelahiran melibatkan bapa berumur 24 tahun dan ke bawah, diikuti Sabah (7.9 peratus) dan Perlis (7.7 peratus).

Pendidikan keibubapaan

BDM melaporkan terdapat peningkatan penyertaan lelaki muda dalam bengkel keibubapaan, termasuk mereka yang masih bujang.

“Ia menunjukkan kesedaran awal dan minat yang tinggi untuk mempersiapkan diri sebagai bapa,” ujar Jason.

Dari sudut kaum, Bumiputera bukan Melayu mencatat peratusan tertinggi bapa muda (10 peratus), diikuti Melayu (enam peratus), India (lima peratus) dan Cina (tiga peratus).

Ada pasangan muda memilih untuk mempunyai anak awal kerana boleh bergantung kepada ibu bapa atau mertua untuk membantu menjaga cucu.

Menyentuh mengenai cabaran, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata, antara cabaran utama yang dihadapi bapa muda ialah tekanan kewangan dan kekurangan masa berkualiti bersama anak-anak jika ibu bapa bekerja.

Namun beliau turut mengakui, jarak umur yang lebih rapat menjadikan komunikasi dan kefahaman antara bapa dan anak lebih lancar.

“Bapa muda biasanya lebih bertenaga dan mudah menyesuaikan diri dengan teknologi serta pengetahuan keibubapaan moden,” bicaranya.

Kesuburan lelaki

Dr Huey Wen menambah, menjadi bapa pada usia muda juga boleh membantu menangani isu penurunan kadar kesuburan lelaki di negara ini.

“Lelaki berusia 40 tahun ke atas berisiko mengalami penurunan kualiti sperma dan kebarangkalian lebih tinggi terhadap mutasi genetik,” katanya sambil mengingatkan bahawa gaya hidup tidak sihat boleh menjejaskan kesuburan walaupun dalam kalangan lelaki muda.

Dalam pada itu, Dr Huey Wen juga menekankan keperluan untuk menyediakan subsidi penjagaan anak, dasar kerja fleksibel dan kumpulan sokongan dan bengkel khusus untuk golongan bapa.

Bagi menyokong bapa muda, Jason mencadangkan cuti paterniti dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya 14 hari serta insentif cukai kepada syarikat yang mengamalkan dasar mesra keluarga.

“Keibubapaan bukan hanya tentang kehadiran fizikal, tetapi juga emosi.

"Dasar, pendidikan dan bimbingan khusus perlu diwujudkan bagi memastikan generasi bapa muda ini mampu membina keluarga sihat dan menyumbang pada negara lebih kukuh," ujarnya. — The Star/YUEN MEIKENG

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram