Tiada dalil spesifik siapa wajib masak, tak perlu banding tanggungjawab suami isteri — Firdaus Wong


  • Cinta
  • Isnin, 16 Jun 2025

Memasak merupakan tanggungjawab bersama dalam kalangan suami isteri. — Gambar hiasan

DALAM konsep kekeluargaan moden, tanggungjawab menguruskan rumah bukan sahaja terletak sepenuhnya di bahu isteri.

Pembahagian tugas kini sering dilihat menjadi antara konsep yang diamalkan oleh kebanyakan pasangan suami isteri sekarang.

Namun, baru-baru ini timbul pula persoalan tentang siapakah seharusnya memikul tanggungjawab dan kewajipan memasak di rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak buat 'suprise' sambut kepulangan ibu lepas 30 tahun kerja pembantu rumah di Lubnan demi biaya pendidikan

BACA LAGI: Profesor wanita Bengaluru sosok penting di sebalik reka bentuk jambatan, landasan kereta api tertinggi dunia

Setiap pasangan suami isteri pasti mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan rumah tangga. — Gambar hiasan

Ia mula hangat dibicarakan selepas seorang pempengaruh media sosial membahas tentang perkara tersebut di dalam satu podcast sebelum ini.

Menurutnya, memasak bukan tanggungjawab isteri, tetapi sekiranya dilakukan ia dibuat atas dasar ihsan.

Pempengaruh lelaki yang terkenal dengan konten bacaan al-Quran itu juga menegaskan individu yang sepatutnya menyediakan makanan adalah suami.

Mengulas lanjut, pendakwa bebas, Firdaus Wong Wai Hung atau lebih dikenali sebagai Firdaus Wong menjelaskan bahawa kewajipan memasak untuk pasangan suami isteri tidak disebut secara spesifik dalam mana-mana ayat al-Quran.

Katanya, setiap pasangan mempunyai sistem pengurusan yang berbeza, begitu juga dengan keluarganya.

"Semasa saya berusia antara 7 hingga 12 tahun, saya kerap seorang diri di rumah kerana ibu bapa saya bekerja.

"Ada kalanya saya masak nasi dan lauk mudah sendiri dan sudah biasa uruskan semua. Tak pernah pula dengar ibu saya bertengkar atau mengeluh kepada kami.

"Setahu saya, tiada satu pun ayat al-Quran mahupun sabda Baginda Rasullah SAW secara spesifik tentang kewajipan siapakah untuk memasak di rumah," katanya.

Jelasnya lagi, ALLAH bercerita tentang penceraian di dalam al-Quran, tetapi tidak memberikan panduan spesifik tantang cara membina rumah tangga bahagia.

"Kenapa begitu? ALLAH sebagai Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Mencipta tahu bahawa manusia tahu bagaimana untuk menguruskan rumah tangga mereka ketika bahagia selagi tidak bercanggah dengan syariat.

"Tetapi, rumah tangga tidak bahagia apabila manusia jadi emosi dan banyak buat keputusan berdasarkan emosi. Maka, manusia sukar uruskan konflik sehingga berlakunya penceraian," ulasnya.

Berbalik kepada topik asal, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab memasak tidak seharusnya menjadi satu perbalahan sekiranya kedua-dua pasangan mencapai persetujuan yang sama.

Namun, untuk mengaplikasikannya kepada semua pasangan suami isteri, ia akan menimbulkan masalah lebih besar.

"Ada pasangan bersetuju isteri masak hari genap, suami masak hari ganjil, hujung minggu makan luar.

"Ada pula suami sahaja memasak tetapi isteri tidak dan itu pun boleh selagi mereka bahagia.

"Perbandingan tanggungjawab ini akan menjadi banyak konflik dalam rumah tangga. Tetapi apabila anda gembira dengan cara anda atau pasangan uruskan rumah tangga, teruskan selagi ia tidak melanggar syariat Islam," terangnya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada seluruh masyarakat agar tidak perlu untuk membandingkan tanggungjawab atau tugas setiap pasangan suami isteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram