
"MATA (penduduk) New York memang terbaik," kata Pemilik Mothfood, Tommy Dorr, sebuah perniagaan pakaian vintaj membuka bilik pameran di Lower Manhattan, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
"Maksud saya, orang di sini memang ada cita rasa terbaik dalam berpakaian."
Dorr, 43, berasal dari Michigan, tempat beliau memulakan kerjaya sebagai penjual pakaian vintaj di sebuah pasar lambak dahulunya lorong boling pada lewat 1990-an.
Beliau kemudiannya membuka beberapa perniagaan sendiri, termasuk Lost and Found Vintage, sebuah kedai yang masih beroperasi di luar Detroit sejak 2003.
Mothfood projek paling dikenali oleh warga New York, mungkin kerana nama akaun Instagram digunakan Dorr ketika memperkenalkan jenama itu lebih sedekad lalu.
"Saya pun tak ingat kenapa pilih nama itu, tapi ia memang nama bersahaja dan sinis,” kata Dorr yang menganggapnya sebagai ujian cita rasa pelanggan.
Adakah anda faham jenaka itu, atau anda rasa pakaian digigit gegat itu menjijikkan?
Dorr sukakan pakaian yang sudah lusuh seperti jaket pudar dek cahaya matahari, seluar denim bercapuk cat dan baju-T berlubang walaupun ia bukan cita rasa semua orang.
Namun, sepanjang tahun, Dorr berjaya membina pengikut setia terdiri daripada selebriti, penata gaya, pereka fesyen dan pemburu pakaian vintaj biasa.
Mereka biasa membeli dari kedai dalam taliannya atau melawatnya di Los Angeles, tempatnya membuka bilik pameran Mothfood yang pertama pada 2015.
"Saya dah lama harap beliau buka di New York.
"Saya memang yakin perniagaan dia akan berjaya di sini, tapi saya pun sebenarnya agak pentingkan diri," kata Emily Adams Bode Aujla, pereka fesyen New York dan rakan Dorr yang membeli barangan vintaj daripadanya untuk kegunaan peribadi dan jenamanya, Bode.
Rak sut hamp dan linen Jepun ini dari 1930-an di bilik pameran Mothfood baharu di Lower East Side, Manhattan. — Agensi
Bode Aujla akhirnya dapat apa yang dihajati pada April lalu apabila Dorr berpindah ke ruang seluas 1,000 kaki persegi di tingkat dua sebuah bangunan biasa di penjuru Allen dan Canal Streets.
Kedainya, seperti lokasi di Los Angeles, hanya dibuka melalui janji temu.
Ia satu sistem santai bagi sesiapa yang berminat boleh hubungi Dorr melalui emel di laman webnya atau mesej terus di Instagram (walaupun Dorr memberi amaran mesej mungkin terlepas).
Tujuannya bukan untuk menyisihkan sesiapa, kata Dorr, sebaliknya untuk menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna.
Ketika mencuba pop-up di Williamsburg, Brooklyn tahun lalu di lokasi lama kedai vintaj Chickee’s yang diusahakan oleh Kathleen Sorbara.
Dorr mendapati kebanyakan pelawat hanya singgah sementara menunggu giliran makan di restoran berdekatan.
"Kebanyakan pelanggan sebenar adalah mereka yang saya dah kenal," kata Dorr, atau mereka yang memang berniat untuk melihat versi fizikal akaun Instagram Mothfood.
Kebelakangan ini, pengalaman membeli-belah yang lebih 'personal' semakin popular di New York, dengan sesetengah pemilik kedai memilih untuk menjemput pelanggan ke studio atau kediaman mereka berbanding membuka kedai biasa.
"Tempat sebegini ada nilai kerana orang kini inginkan privasi," tambah Llewellyn Mejia yang membuka bilik pameran Allen Street bersama Dorr.
Orang ramai suka “dapat membeli secara peribadi,” katanya, sambil menyatakan ruang berjanji temu seperti ini “memang sedang berkembang”.
Ruang baharu di Manhattan dihias dengan perabot antik dan seni rakyat yang dijual Mejia melalui kedainya, Trinket.
Ia kelihatan teratur tidak sesak dengan pakaian vintaj sepanjang abad ke-20.
Tommy Dorr (kanan), bersama Llewellyn Mejia di bilik pameran Mothfood baharu yang mereka usahakan bersama di Lower East Side, Manhattan. — Agensi
Perabot dan objek seni Mejia, termasuk arca poodle ukiran tangan bernilai US$450 (kira-kira RM1,890), dipamerkan di dinding gaya galeri.
Di satu sudut lain, bangku gereja abad ke-19 digunakan untuk mempamerkan seluar kerja vintaj jenis 'double-knee' milik Dorr.
Setakat ini, pengunjung bilik pameran Dorr termasuklah penduduk sekitar kawasan itu, yang sememangnya terkenal dengan kedai vintaj terpilih seperti Leisure Centre dan Desert Vintage (belum lagi komuniti kukuh di Brooklyn seperti Front General Store dan Crowley Vintage).
Beberapa penata gaya, pereka kostum dan individu dari industri fesyen yang rapat dengannya juga sudah datang melawat.
Dorr menganggarkan sekitar 75 peratus pelanggannya adalah dari kalangan profesional industri.
Beliau pernah menyediakan pakaian untuk filem berlatar masa lampau seperti A Complete Unknown, biopik Bob Dylan, serta membantu menggayakan artis seperti Boy Genius dan Paramore.
Walaupun beliau lebih banyak menjual pakaian dan saiz lelaki, pelanggannya seimbang antara lelaki dan wanita.
Dalam bilik pameran, Dorr berjalan sambil menunjukkan beberapa item kegemarannya seperti baju kemeja putih kapas era 1960-an, jaket kerja gaya koboi jenama Carhartt dari era 1980-an, longgokan sweatshirt Champion reverse-weave dari 1990-an dan baju anti-gas era Perang Dunia Kedua yang dipenuhi percikan cat dari kehidupannya sebagai apron pelukis.
"Masa saya mula dulu, pakaian vintaj cuma untuk budak hipster dan orang pelik,” kata Dorr.
Sekarang, tambahnya, pembeli vintaj adalah “orang biasa”. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram