Mulut berbau bukan biasa-biasa, petanda masalah dalaman — Pakar


  • Sihat
  • Khamis, 12 Jun 2025

Ramai yang tidak sedar mulut berbau sebenarnya boleh menjadi petanda awal kepada isu kesihatan yang lebih serius. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

MASALAH mulut berbau sering dianggap remeh dan memalukan, namun ia sebenarnya boleh menjadi petanda awal kepada isu kesihatan yang lebih serius. 

Bukan sekadar berpunca daripada sisa makanan atau tabiat merokok, mulut berbau turut dikaitkan dengan penyakit gusi, kerosakan gigi, malah gangguan keseimbangan bakteria dalam usus yang boleh menjejaskan sistem penghadaman.

Bagi ramai rakyat Malaysia, kesihatan mulut hanya diberi perhatian apabila mengalami sakit gigi atau gusi. Pemeriksaan gigi secara berkala pula sering dianggap tidak penting. 

BACA LAGI : Jangan jadikan pemandu 'kambing hitam', wujudkan satu akta khas elak tragedi nahas UPSI berulang — Pakar

BACA LAGI : Mudah lebam, selalu keliru antara tanda penyakit hati — Pakar

Sikap sambil lewa ini boleh mencetuskan pelbagai masalah, termasuk kerosakan gigi dan penyakit gusi yang semakin teruk, malah meningkatkan risiko masalah penghadaman.

Menurut Dekan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Seow Liang Lin,  bakteria berbahaya daripada mulut boleh menembusi aliran darah dan bertahan daripada asid perut sebelum menjajah sistem usus. 

"Kehadiran bakteria ini bukan sahaja mengganggu fungsi penghadaman.

"Lebih parah lagi, keadaan itu boleh mencetuskan keradangan usus serta mengganggu keseimbangan mikrobiota yang penting untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan pada Majoriti

Profesor Seow Liang Lin

Tambah beliau, pesakit dengan penyakit gusi terbukti lebih berisiko mengalami masalah keradangan usus seperti penyakit radang usus (inflammatory bowel disease) dan Crohn. 

Malah, kawasan mulut dan usus merupakan dua lokasi dalam tubuh manusia yang paling padat dengan komuniti mikrob. 

Sekiranya keseimbangan bakteria di mulut terganggu, kesannya boleh menjalar ke dalam usus melalui saluran penghadaman.

Beliau turut menjelaskan bahawa toksin yang dihasilkan oleh bakteria dari mulut boleh menekan bakteria baik dalam usus yang sepatutnya berperanan menghalang tindak balas keradangan. 

"Keadaan itu menjadikan tubuh lebih mudah diserang pelbagai penyakit lain yang berkaitan dengan imun dan penghadaman. 

"Dalam masa sama, gangguan penghadaman seperti penyakit aliran balik asid (GERD) juga boleh menjejaskan kesihatan mulut, termasuk menyebabkan hakisan pada enamel gigi yang membawa kepada sensitiviti dan kerosakan kekal," ujarnya. 

Apa yang lebih membimbangkan, kehilangan gigi akibat penyakit gusi atau karies turut dikaitkan dengan penurunan populasi bakteria Faecalibacterium dalam usus, iaitu bakteria baik yang menghasilkan asid lemak rantaian pendek. 

Katanya, bakteria Faecalibacterium merupakan bahan penting untuk mengekalkan kesihatan sistemik. 

"Selain itu, ia  dapat mengurangkan keradangan dalam badan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kesihatan mulut dan usus saling mempengaruhi antara satu sama lain dalam jangka panjang," katanya. 

Tabiat gaya hidup jejas kesihatan gusi dan usus

Picture posed by model for Photo concept on the idea of banning the teenagers born in 2005 from buying and smoking. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star.

Faktor gaya hidup seperti merokok memainkan peranan besar dalam merosakkan kesihatan mulut. — Gambar hiasan

Profesor Seow turut menekankan faktor gaya hidup seperti merokok memainkan peranan besar dalam merosakkan kesihatan mulut. 

"Nikotin dan bahan kimia lain dalam rokok boleh mengurangkan aliran darah ke gusi, merosakkan tisu sokongan gigi dan mencetuskan tindak balas keradangan yang berpanjangan yang kemudiannya memberi kesan kepada sistem penghadaman.

"Lebih membimbangkan, masalah pergigian yang tidak dirawat juga akan menjejaskan pola pemakanan," katanya.  

Jelas beliau, individu yang kehilangan gigi atau mengalami kesukaran mengunyah mungkin mengelak makanan berserat seperti sayur atau daging, lalu beralih kepada makanan proses yang lebih lembut tetapi kurang berkhasiat. 

"Ini akhirnya boleh mengakibatkan sembelit, malnutrisi dan ketidakseimbangan mikrobiota usus," katanya. 

Pemeriksaan berkala langkah pencegahan terbaik

Orang ramai dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya setahun sekali. — Gambar Hiasan/IMU

Menurut Profesor Seow, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan mulut masih rendah walaupun data saintifik sudah menunjukkan hubungan yang kukuh antara mulut dan sistem penghadaman.

"Kita perlu ubah persepsi bahawa hanya sakit gigi memerlukan rawatan. 

"Sering kali penyakit gusi tidak disedari kerana tidak menyakitkan. Namun jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kerosakan pada tulang sokongan gigi, mengakibatkan gigi longgar dan akhirnya terpaksa dicabut," katanya.

Beliau menyarankan agar orang ramai menjalani pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya setahun sekali, dan lebih kerap bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti penyakit gusi, gigi berlubang, atau menggunakan prostesis pergigian.

Menutup bicara, Profesor Seow menyarankan supaya setiap individu menjadikan doktor gigi sebagai sekutu kesihatan yang dipercayai. 

"Mempunyai doktor gigi tetap yang mengenali latar belakang anda akan memudahkan perbincangan terbuka dan pendidikan penjagaan mulut yang bersesuaian serta berkesan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram