'Terapi tidur X saat' bukan rawatan, undang bahaya tersendiri


  • Sihat
  • Ahad, 08 Jun 2025

Teknik menekan bahagian leher seperti yang dipaparkan dalam video tular 'Terapi Tidur X Saat' menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar perubatan pada ketika ini. — Gambar hiasan/Janaan Ai

BAYANGKAN anda 'ditidurkan' dalam enam saat. Hanya dengan satu tekanan di leher, tubuh terkulai, mata tertutup, dan dalam sekelip mata, anda mula menggelupur seperti dirasuk.

Begitulah yang cuba dipromosikan dalam video-video tular bertajuk 'Terapi Tidur X Saat' di media sosial, yang mendakwa mampu 'menyedarkan' pesakit, merawat gangguan dalaman, dan membuang unsur negatif dalam badan.

Namun di sebalik adegan dramatik yang dirakam dan disunting seolah-olah satu proses penyembuhan ajaib itu, tersembunyi satu hakikat yang membimbangkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain

BACA LAGI: Ramai tak sedar, wanita gemuk lebih sukar lahirkan anak secara normal, legasi berisiko ada masalah jantung dan hati — Pakar

Menurut seorang doktor perubatan, Mohd Hafis Zul Arif , apa yang berlaku bukanlah satu bentuk rawatan, jauh sekali terapi perubatan alternatif.

"Sebaliknya rawatan itu merupakan satu tindakan fizikal yang boleh mengancam nyawa. Kalau anda tengok pada video yang dimuat naik, mereka tak kongsi dari awal sebelum pesakit 'tidur'.

"Mereka muat naik video video bermula setelah pesakit 'tidur' dan menggelupur. Sangat dramatik kan menggelupur itu, seakan semua 'saka' keluar dari badan," katanya menerusi perkongsian di laman Threads miliknya baru-baru ini.

Tekanan yang dikenakan ke atas bahagian bawah leher akan berkemungkinan ke atas arteri karotid boleh menyebabkan otak kekurangan oksigen secara mendadak. — Gambar Hiasan/JanaanAi

Beliau menjelaskan dalam istilah perubatan, fenomena itu dikenali sebagai induced convulsive syncope, iaitu sejenis pengsan disertai dengan pergerakan menyerupai sawan kerana otak mengalami kekurangan oksigen secara tiba-tiba.

"Dalam keadaan ini, bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap kawalan fungsi tinggi seperti kesedaran dan pertimbangan akan berhenti berfungsi, lalu sistem primitif otak brainstem akan mengambil alih.

"Refleks semulajadi seperti pergerakan mengejut atau sawan kecil pun berlaku," katanya.

Tambah Dr. Mohd Hafis lagi, tekanan yang dikenakan ke atas bahagian bawah leher akan berkemungkinan ke atas arteri karotid boleh menyebabkan otak kekurangan oksigen secara mendadak.

Otak manusia memerlukan aliran darah beroksigen yang berterusan, dan sebarang gangguan walaupun beberapa saat boleh menyebabkan otak ‘tertutup’ sementara dan mencetuskan gerakan refleks seperti sawan.

Keadaan ini, tegasnya, bukan sahaja tidak merawat sebarang penyakit, malah boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk strok dan kerosakan saraf kekal.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan ini amat berbahaya khususnya kepada individu yang mempunyai penyakit tersembunyi seperti tekanan darah rendah, plak kolesterol di salur darah, atau aneurisme iaitu salur darah yang lemah dan membengkak.

"Jika tekanan yang dikenakan mencetuskan pecahan plak kolesterol, ia boleh menyumbat sepenuhnya arteri karotid dan menyebabkan strok serta-merta.

"Jika aneurisme pecah, ia boleh menyebabkan pendarahan yang mengancam nyawa," katanya.

Meskipun ada yang melaporkan rasa lega atau tenang selepas rawatan, beliau menjelaskan ia hanyalah kesan fisiologi biasa selepas seseorang pengsan.

"Adakah 'terapi' ini berfaedah? Kenapa pesakit berasa lega selepas terapi? Seperti orang pengsan yang baru terjaga, tentulah mereka berasa lebih lega, mungkin sedikit pening.

"Dalam istilah perubatan, keadaan itu dikenali sebagai autonomic nervous system reset apabila badan 'menutup' buat sementara waktu untuk menstabilkan tekanan dan tekanan emosi.

"Namun, ia bukanlah penyelesaian kepada sebarang penyakit sebenar yang dihadapi seseorang," katanya.

Dr. Hafis menegaskan, pendekatan yang mengganggu fungsi otak atau sistem saraf secara paksa tidak seharusnya dijadikan amalan, apatah lagi dipromosikan secara terbuka di media sosial.

"Ini bukan 'terapi tidur', ini adalah perbuatan memengsankan orang dengan sengaja. Mohon cakna," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram