Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya gaya Gen Z


  • Sukses
  • Isnin, 09 Jun 2025

Suna mahu menghidupkan kembali kebaya sebagai pakaian harian yang moden dan inklusif.

DI tengah hiruk-pikuk Kuala Lumpur yang dipenuhi trend fesyen pantas dan moden, Suna, 22, memilih untuk menyelami warisan lama serta mengangkat semula keindahan kebaya klasik.

Menariknya, perjalanan perniagaan pemilik nama lengkap Aini Qaleesha Ahmad Hafez Abdullah itu bermula sejak 2020, ketika berusia 18 tahun.

Jika individu lain melihat umur itu terlalu mentah untuk memegang status bos, namun tidak bagi Suna.

BACA LAGI: [VIDEO] Obses dengan ikan duyung sejak kecil, Kamelia bina jenama kosmetik penuh karakter

BACA LAGI: Boss Mama tembusi pasaran global, solusi buat ibu moden

Bersua muka bersama wanita yang mendirikan rumah tangga pada Februari lalu itu, penulis dapat rasakan, identiti dan pemilihan fesyen lain daripada lain memberi beliau keselesaan dan kebebasan untuk berkarya.

Berkongsi kepada Majoriti, Suna bermula dengan membantu kakak dan abang iparnya menjual pakaian terpakai termasuk baju kurung rekaan lama.

Dari situlah benih minat terhadap dunia keusahawanan mula bercambah.

“Butik Rimbun sebelum ini berlokasi di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan diusahakan keluarga abang ipar.

"Namun ia macam gudang penuh dengan baju-baju lama, fesyen dalam 20 tahun ke belakang,” jelasnya menambah bisnes itu hanya beroperasi melalui platform pasaran pengiklanan dalam talian pada mulanya.

Rekaan kebaya moden di RimbunKL menarik minat generasi muda untuk menggayakan pakaian tradisional tersebut.

Selepas menjalani proses penjenamaan semula, butik Rimbun yang kini dikenali sebagai RimbunKL, terletak di Puchong, Selangor mula menampilkan suasana jauh berbeza.

Segar, penuh warna dan pastinya dengan semangat generasi baharu!

“Saya memang suka tengok rekaan busana lama dan dari situ saya cuba gayakan sendiri. Tak sangka ramai yang minat cara saya padankan kebaya bersama item fesyen lain seperti seluar jean, skirt dan sebagainya.

"Dulu sekitar 2021 dan 2022, belum ramai pakai kebaya untuk keluar harian, tapi sekarang ia lebih santai dan bertepatan dengan cita rasa generasi muda,” tambahnya.

Namun, perjalanan untuk memperkenalkan kebaya sebagai fesyen harian bukanlah berjalan tanpa cabaran.

Ada juga pandangan skeptikal seperti 'siapa nak pakai kebaya sekarang'? Namun itu tidak mematahkan semangatnya.

“Bagi saya, saya suka dan minat. Kalau orang lain tak suka, tidak mengapa, tapi apabila ada yang suka dan sokong, kita hargai mereka,” jelasnya.

Menurut beliau, transisi daripada menjual baju lama kepada menghasilkan koleksi baharu hasil rekaan sendiri tidak berlaku dalam sekelip mata.

“Kita ambil langkah perlahan, kira-kira tiga tahun untuk kenal tempo, baru betul-betul buka kedai fizikal tahun lepas. Bukan terus lompat,” ceritanya.

Pandangan skeptikal segelintir pihak tidak mematahkan semangat Suna (kiri) untuk berniaga. — Instagram/rimbunkl

Jahitan nenek

Sebenarnya, minat anak keempat daripada 10 beradik itu terhadap busana tradisional bukan sesuatu yang baharu.

Sejak kecil, beliau gemar menyelongkar kotak baju lama milik ibunya berbanding berpakaian mengikut jenama popular semasa.

Baju jahitan nenek, misalnya menjadi antara kegemaran wanita genit tersebut disebabkan rekaannya yang tak lapuk dek zaman.

Koleksi RimbunKL kini bukan hanya melibatkan kebaya, tetapi juga skirt, selendang batik dan rekaan khas yang dijahit berdasarkan idea unik Suna dan pasukan.

Seiring berkembangnya jenama RimbunKL, pelanggan bukan sahaja datang dari Malaysia, malah turut mendapat permintaan warga Singapura, Indonesia, Jepun dan juga Amerika Syarikat (AS).

Namun buat masa ini, anak jati Kuala Lumpur itu memilih untuk menangguhkan penghantaran antarabangsa kerana belum bersedia sepenuhnya dari segi pengurusan dan platform e-dagang.

“Kita tengah buat laman web untuk menguruskan pelanggan luar negara. Sekarang banyak yang hubungi daripada TikTok, tapi platform tersebut tidak boleh terima tempahan luar negara," ujarnya yang menghasilkan nilai jualan sekitar RM60,000 sebulan.

Rekaan kebaya di RimbunKL tampil dengan variasi warna.

Gabungan tradisi, gaya harian

Salah satu kekuatan RimbunKL adalah bagaimana ia menghidupkan kembali kebaya sebagai pakaian harian yang moden dan inklusif.

Kuncinya bagi Suna, perlu ada yang ke hadapan untuk memulakannya dahulu.

“Saya tunjuk dalam konten cara memakai kebaya dengan konsep mix and match.

"Orang jadi lebih yakin nak cuba apabila tengok kita dulu yang pakai,” jelasnya yang gemar bereksperimentasi dengan fesyen.

Trend semasa turut menunjukkan peningkatan minat terhadap kebaya, terutama dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) yang mahukan sesuatu autentik namun kekal relevan dengan gaya hidup moden.

“Kami jarang jual pakaian satu set kerana suka tengok kreativiti pelanggan padankan ikut gaya sendiri.

"Kadang-kadang kombinasi warna dan padanan yang mereka buat lebih cantik daripada yang saya fikirkan,” ujarnya tertawa kecil.

Suna membuktikan kebaya bukanlah terhad untuk hari raya atau majlis rasmi. — Instagram/rimbunkl

Kebaya tidak pernah mati

Melalui RimbunKL, Suna membuktikan bahawa kebaya bukanlah hanya terhad untuk hari raya atau majlis rasmi. Ia adalah ekspresi gaya, warisan dan juga identiti.

“Orang mungkin pelik tengok awal-awal, tapi kalau kita yakin, lama-kelamaan mereka akan ikut,” bicaranya menutup perbualan.

Hari ini, Suna bukan sekadar menjual baju kebaya, beliau sebaliknya mengangkat semula nilai budaya dengan sentuhan moden, menjadikannya relevan dan digemari generasi baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram