
PENCIPTA kandungan kelahiran Korea Selatan dikenali dengan nama Shin Seonma menempuh lembaran baharu sebagai usahawan selepas memperkenalkan jenama sos dan pes masakan Korea yang diperakui halal, Okmaya.
Diinspirasikan daripada air tangan ibunya, perjalanan Seonma bermula pada Ogos 2024 apabila meninggalkan kerjaya selama lapan tahun di Malaysia untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan.
Hasratnya jelas, yakni menyediakan pilihan makanan Korea autentik dan dijamin halal buat pengguna Muslim, sesuatu yang beliau sendiri sukar temui ketika mula menetap di Malaysia.
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya gaya Gen Z
“Saya putuskan untuk ambil cabaran ini, menjadikan resipi ibu halal dimakan. Ia bukan mudah kerana banyak bahan Korea asal tidak halal.
"Saya perlu belajar, bereksperimen dan mencari padanan ramuan tempatan dengan suami sehingga kami temui rasa yang hampir sama,” katanya menerusi perkongsian di Instagram miliknya, seonma_shin.
Produk pertama Okmaya, pes sundubu jjigae, sup tauhu pedas Korea yang popular merupakan hasil resipi asli ibunya.
Pes itu dirumus tanpa monosodium glutamate (MSG), pewarna tiruan atau bahan pengawet, dengan menggunakan 14 bahan semula jadi.
Difahamkan, ia menerima pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 6 November 2024.
Resipi ibu
Berkongsi kisah awal penciptaan produk sulungnya, Seonma berkata, pada mulanya beliau hanya cuba mencipta semula rasa masakan Korea berdasarkan resipi restoran terkenal.
“Saya bawa pes tersebut balik Korea dan minta ibu rasa tapi lepas mencubanya, beliau sendiri mahu buatkan sundubu jjigae untuk saya cuba,” katanya.
Ibu Seonma kemudian menunjukkan cara sebenar menghasilkan minyak cili beraroma, ramuan penting dalam sup pedas Korea itu.
"Minyak cili adalah jiwa kepada sundubu jjigae. Ibu ajar saya langkah demi langkah, daripada memilih bahan, menetapkan suhu, sehinggalah mendapatkan rasa yang betul untuk minyak, kuah sup dan perencah,” jelas beliau.
Wanita itu menyifatkan momen tersebut sebagai titik tolak utama dalam perniagaannya.
Menyedari bahawa resipi air tangan ibu jauh lebih autentik dan enak berbanding mana-mana versi yang pernah dicubanya, beliau mengambil keputusan untuk berkongsi rasa nostalgia itu kepada orang ramai.
“Kenapa tidak saya kongsikan resipi ibu dengan semua orang? Dari situ, saya mulakan perjalanan sundubu jjigae, dengan misi membawa rasa makanan ibu Korea sebenar ke meja anda,” ungkapnya yang datang ke Malaysia pada 2016 untuk menjalani latihan industri selama enam bulan.
Seonma mengambil keputusan untuk berkongsi rasa nostalgia masakan ibunya kepada orang ramai. — Instagram/seonma_shin
Nama ibu
Nama Okmaya sendiri menyimpan nilai sentimental buat wanita yang mendirikan rumah tangga bersama lelaki berasal dari Sarawak itu, pada 2023.
'Ok' ialah nama ibunya, manakala 'maya' berasal daripada panggilan eommaya (ibu) dalam bahasa Korea.
Perjalanan dari dapur ke kilang menjadi realiti apabila Seonma mula mengkomersialkan produk buatannya secara meluas.
Produk kedua Okmaya, pes bulgogi yang mengandungi 51 peratus buah pir segar, dilancarkan pada Februari lalu, turut menerima pengesahan halal.
Kemudian pada 4 Mei, Okmaya melancarkan produk ketiganya iaitu Korean Chili Flakes.
Antara resipi yang boleh dihasilkan menggunakan pes sundubu jjigae dan bulgogi jenama Okmaya. — Instagram/seonma_shin
Kolaboratif
Komitmen usahawan tersebut terhadap pendidikan dan perkongsian budaya turut terserlah apabila beliau dijemput memberi bengkel kepada pelajar sebuah institusi pengajian tinggi pada Oktober 2024.
Beliau dijemput bagi membincangkan budaya makanan Korea Selatan serta proses pembangunan produknya.
Terbaharu, pada 1 Jun lalu, Okmaya mengumumkan kolaborasi bersama rangkaian kedai serbaneka terkemuka, menerusi kempen Seoul Authentic.
Empat menu Korea sedia dimakan hasil kerjasama tersebut termasuk nasi sundubu jjigae dan Bulgogi Beef Gimbap, kini boleh didapati di lebih 450 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara.
“Ini bukan sekadar menu. Ia resipi warisan keluarga yang saya ubah supaya semua orang, termasuk beragama Islam di Malaysia boleh menikmatinya,” katanya.
Seoma (kiri) mendirikan rumah tangga bersama lelaki berasal dari Sarawak pada 2023. — Instagram/seonma_shin
Walaupun ramai melihat kehidupan sebagai pencipta kandungan dan usahawan kelihatan glamor, Seonma mengakui ia tidak mudah.
“Setiap produk memerlukan masa, eksperimen dan kerjasama pasukan yang memahami standard saya.
"Namun segala usaha ini berbaloi apabila saya dapat berkongsi rasa masakan ibu dengan anda semua,” tambahnya.
Bermula dari dapur kecil bersama suami, kini jenama Okmaya berdiri sebagai contoh penyatuan budaya, inovasi dan kasih sayang seorang anak kepada ibunya, dalam setiap sudu, ada cerita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram