
PENYANYI pop Jepun, Yuzuki Nakashima menerima pujian ramai kerana kesungguhan dan komited mengimbangkan dunia hiburan dan pengajian.
Walaupun sibuk sebagai penyanyi, wanita daripada kumpulan terkenal Sakurazaka46 itu tetap menamatkan pengajian di sebuah universiti di Fukuoka terletak lebih 1,000 kilometer dari kediamannya di Tokyo.
Setiap hari, Nakashima memulakan rutinnya seawal pukul 5 pagi.
BACA LAGI: Lelaki lebih setia dengan tukang gunting rambut berbanding pasangan sendiri?
Nakashima kini tamat pengajian di sebuah universiti terletak di Fukuoka, Jepun.
Selepas bersiap dan mengenakan solekan, beliau bergegas ke Lapangan Terbang Haneda untuk menaiki penerbangan pertama ke Kitakyushu pada pukul 6 pagi.
Tiba sekitar pukul 9.30 pagi, wanita berusia 22 tahun itu kemudian menaiki teksi atau pergi ke kampus di Fukuoka.
Perjalanan sehala mengambil masa lebih dua jam dan menelan kos melebihi sekitar RM470 (15,000 yen) setiap hari.
Walaupun berhadapan dengan cabaran jarak dan kos, beliau tetap tabah dan menjadikan masa dalam perjalanan sebagai ruang untuk belajar dan menyiapkan tugasan.
Manakan tidak, universiti tersebut merupakan impiannya sejak sekolah menengah.
Di kampus, Nakashima lebih gemar belajar bersendirian di bilik yang tenang menghadap pemandangan kampus.
Rakan-rakan pula tetap melayannya seperti pelajar biasa tanpa mengambil kira status sebagai selebriti.
Selepas tamat kelas, beliau pulang semula ke Tokyo untuk menghadiri sesi latihan vokal dan tarian yang berlanjutan sehingga malam.
Rutin mencabar itu telah dijalaninya selama empat tahun, bahkan sebelum beliau menyertai Sakurazaka46 lagi.
Demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi, beliau pernah bekerja sambilan untuk menabung.
Kini, setelah berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh diploma, Nakashima akhirnya berkongsi kisah kehidupannya sebagai pelajar iaitu pengalaman yang selama ini dirahsiakan demi memberi tumpuan kepada persembahan bersama kumpulannya.
Nakashima berkata, detik graduasi itu merupakan masa yang tepat untuk berkongsi sisi penting dalam hidupnya.
“Jika anda mempunyai impian, walau sesukar mana sekalipun, beranilah mengejarnya.
"Setiap masa yang dilalui dalam usaha mencapai impian akan menjadi kenangan paling berharga dalam hidup," kata Nakashima.
Video vlog yang memaparkan rutin hariannya menarik perhatian ramai di media sosial.
Rata-rata warga maya memuji ketabahan dan dedikasinya.
Ada mengatakan bahawa kekuatan dalaman seperti itulah yang menjadikan seseorang idola sebenar iaitu bukan sekadar rupa atau bakat.
Malah, seorang rakan sekampus turut berkongsi rasa kagumnya yang bijak mengimbangi kehidupan kerjaya dan pembelajaran.
"Saya tak sangka ada pelajar di sini yang begitu tekun. Dalam keadaan sukar mencari kerja sekarang, kisah Nakashima memberikan saya semangat untuk terus berusaha," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram