Wanita ambil sekurang-kurangnya 50 gambar sebelum pilih yang terbaik untuk dimuat naik ke media sosial


  • Relaks
  • Khamis, 13 Mac 2025

SATU daripada empat wanita mengambil sekurang-kurangnya 50 gambar sebelum memilih yang terbaik untuk dimuat naik. - Gambar hiasan

MEMILIH gambar yang tepat untuk dimuat naik adalah satu 'perjalanan' yang agak mencabar. Buat kaki media sosial, mereka pasti memahami perasaan ini, demi mendapatkan angle wajah terbaik, paling cantik!

Bukan sahaja pencahayaan mesti betul, tetapi penampilan keseluruhan dari pakaian hingga ke solekan juga perlu dipertimbangkan. 

Dan siapa yang mengambil gambar tersebut? Adakah mereka mempunyai tangan yang 'stabil'? Bagaimana kalau gambar nampak bergegar dan kita pula belum sempat bersedia, mata pula berkedip pada saat gambar dirakam? Kerana ini, proses pengambilan gambar akan berulang dan berulang lagi sampaikan tidak sedar sudah berpuluh foto terakam dalam arkib gambar telefon. 

Inilah cabaran media sosial di zaman moden. Tahukah anda ada kaji selidik melaporkan, satu daripada empat wanita mengambil sekurang-kurangnya 50 gambar sebelum memilih yang terbaik untuk dimuat naik?

Kajian ini, yang dibawakan oleh jenama kecantikan Dove, menyaksikan kerjasama dengan penyanyi Bebe Rexha untuk mengetengahkan mesej mengenai tekanan yang dihadapi oleh kebanyakan wanita demi mendapatkan gambar yang sempurna.

Bukan hanya jumlah gambar yang menjadi isu, lebih separuh daripada wanita mengakui mereka menghabiskan lebih 10 minit untuk memutuskan sama ada hendak memuat naik, berkongsi, atau memadamkan gambar diri mereka yang pastinya sudah disunting untuk mengurangkan kecacatan, gangguan photobomb atau lain-lain 'kekurangan' yang tidak diingini.

BACA LAGI: Sweden, Iceland antara negara terbaik buat wanita berhasrat kerja di luar negara

BACA LAGI: Rupanya 5 filem popular ini sentuhan magis pengarah wanita, bawa naratif kisah perjuangan, lawan stereotaip sosial

Enam daripada sepuluh wanita mengaku tidak memuat naik gambar yang dirakam sewaktu detik istimewa hanya kerana tidak puas hati dengan wajah sendiri.

Kajian juga melaporkan, satu daripada lima wanita berasa bimbang sebelum menekan butang kongsi.

Adakah ini satu fenomena besar? Ya, sememangnya.

Tidak mengejutkan, Gen Z iaitu wanita berusia 18 hingga 24 tahun, mengambil purata 14 gambar sebelum memilih yang terbaik.

Namun, Gen Alpha (golongan yang lahir pada awal 2010-an) hanya mengambil purata tujuh gambar dan ini menunjukkan bahawa generasi muda yang kini mungkin lebih cenderung kepada gaya hidup yang kurang disunting.

Kempen Dove ini dianjurkan bagi bertujuan untuk mengubah jangkaan tidak masuk akal, dengan membantu wanita meraikan detik-detik istimewa melalui tanda pagar #Sharethefirst.

"Ramai wanita yang mengelak daripada berkongsi detik atau momen penting dalam hidup di media sosial kerana tidak berpuas hati dengan penampilan mereka dalam gambar. Misalannya gambar pada hari graduasi, perkahwinan ataupun ulang tahun.

"Tekanan untuk kelihatan 'sempurna' menyebabkan wanita sentiasa dihambat rasa bimbang dan Dove ingin mengubah persepsi itu," jelas Marcela Melero, Ketua Pegawai Pembangunan Dove dalam kenyataan yang disertakan bersama statistik tersebut.

"Kami menyeru komuniti untuk berkongsi gambar pertama mereka, yang menunjukkan kegembiraan, bukan kesempurnaan.

"Kerana kecantikan sebenar bukan tentang gambar yang sempurna semata, tetapi tentang penerimaan diri sendiri," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram