
TEKANAN selepas bersalin ataupun 'postpartum depression' (PPD) merupakan satu keadaan kesihatan mental serius yang sering dialami oleh ibu usai melahirkan anak.
Boleh menjurus ke arah kesihatan mental serius, simptom dihadapi meninggalkan impak besar terhadap masa depan individu sekiranya tidak dibendung dari awal.
Menurut pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr Sharmina Kamal, isu tersebut boleh berlaku dalam pelbagai cara dan kesemuanya boleh dikenal pasti dalam bentuk berbeza-beza berdasarkan kelakuan serta perubahan tingkah laku mangsa.
BACA LAGI: 'TRoom' bantu rawat sensori, tumbesaran kanak-kanak, pertama di Asia Tenggara
BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna
Justeru, memahami kumpulan berisiko serta mengenali tanda-tanda awal adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko serta implikasi buruk dihadapi individu.
Siapa berisiko mengalami Postpartum Depression?
Menurut Sharmina, terdapat beberapa golongan ibu yang berisiko tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin. Antaranya termasuklah:
1. Ibu dengan sejarah masalah mental
Termasuk mereka yang pernah mengalami PPD sebelum ini atau mempunyai sejarah kemurungan sebelum mengandung.
2. Ibu yang melalui pengalaman bersalin traumatik
Seperti pembedahan kecemasan emergency caesarean atau pendarahan teruk semasa bersalin.
3. Ibu dari latar belakang sosioekonomi rendah
Tekanan kewangan dan kurang akses kepada sokongan sosial boleh meningkatkan risiko PPD.
4. Ibu yang kurang sokongan
Ibu tunggal atau mereka yang menjalani tempoh berpantang tanpa bantuan keluarga juga mudah terdedah kepada PPD.
Jenis-jenis tekanan lepas bersalin
1. Postpartum Blues
Hampir 80 peratus wanita mengalami 'postpartum blues' dalam tempoh tiga hingga empat hari selepas bersalin dan ia boleh berlarutan sehingga sebulan.
"Ibu dalam fasa ini sering berasa sedih secara tiba-tiba atau mudah rasa terharu, namun mereka masih boleh menikmati masa bahagia bersama keluarga.
"Kebiasaannya keadaan ini akan pulih tanpa rawatan namun perlu diberikan perhatian sepenuhnya oleh pasangan," katanya kepada Majoriti.
2. Postpartum Depression (PPD)
Ini adalah keadaan yang lebih serius berbanding 'postpartum blues'.
Ibu yang mengalami PPD akan berasa sedih berterusan, hilang minat terhadap perkara yang sebelum ini digemari, mengasingkan diri, tidak mahu berinteraksi dengan anak dan lebih gemar tidur sepanjang hari.
Gejala ini berlarutan melebihi satu bulan selepas bersalin dan memerlukan rawatan profesional.
3. Postpartum Psychosis
Walaupun jarang berlaku, 'postpartum psychosis' adalah situasi paling berbahaya.
"Si ibu mungkin mengalami halusinasi seperti mendengar suara, melihat bayangan pelik atau terhidu bau yang tidak wujud.
"Kes seperti ini memerlukan rawatan segera dan adakalanya ibu perlu dipisahkan sementara daripada bayi demi keselamatan kedua-duanya," ujarnya.
Kepentingan sokongan dan rawatan
Langkah paling penting untuk mencegah keadaan ini daripada menjadi lebih buruk adalah dengan mengesan gejala tersebut dari awal.
Suami, keluarga dan rakan terdekat harus peka jika berlaku sebarang perubahan ketara pada ibu selepas bersalin seperti:
- Menangis tanpa sebab.
- Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran.
- Mengelakkan interaksi dengan anak dan keluarga.
- Lebih suka menyendiri atau tidur sepanjang hari.
Tambahan itu, Dr Sharmina turut menekankan kepentingan menjalani sesi susulan (follow-up) selepas bersalin biarpun si ibu kelihatan sihat secara fizikal.
Lawatan susulan membolehkan doktor atau jururawat mengenal pasti masalah kesihatan mental yang mungkin terlepas pandang.
Dari segi rawatan, ibu memerlukan sokongan emosi keluarga sepenuhnya dan golongan berkenaan tidak seharusnya dikecam atau dipersalahkan.
Kaunseling, terapi tingkah laku dan dalam sesetengah kes, ubat-ubatan mungkin diperlukan bergantung kepada tahap kemurungan yang dialami.
Stigma harus dihapuskan
Ramai ibu enggan mendapatkan rawatan kerana takut akan stigma masyarakat terhadap penyakit mental.
Jelas Dr Sharmina, rawatan bagi masalah sedemikian adalah rahsia dan tidak akan didedahkan kepada orang lain.
Oleh itu, golongan ibu tidak perlu rasa malu untuk mendapatkan bantuan, malah ia adalah langkah penting untuk memulihkan hubungan antara anak dan keluarga.
"Jangan sesekali menafikan perasaan sendiri, jika dibiarkan, kemurungan akan menjadi lebih teruk dan boleh memusnahkan hubungan dalam keluarga.
"Kesedaran dan tindakan awal adalah kunci utama untuk mengatasi masalah ini," ujarnya mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram