Elak sindrom SIDS, bayi tidur malam bersama bapa lebih baik berbanding ibu, bertambah lena — Pakar pediatrik


  • Bonda
  • Rabu, 11 Jun 2025

Bayi tidur bersama bapa dikatakan membantu terhadap tumbesaran anak. — Gambar hiasan/Freepik dijana AI

PENGALAMAN membesarkan anak bukan perkara mudah dengan pelbagai dugaan serta cabaran perlu dihadapi ibu bapa.

Fasa bayi baharu lahir dikatakan merupakan detik paling mencabar terutamanya pasangan kali pertama dikurniakan zuriat.

Ragam bayi di waktu malam dan siang hari sememangnya sukar diramal, bahkan ada berpendapat si kecil memerlukan perhatian 24 jam sepenuhnya daripada ibu bapa hingga usianya menginjak ke fasa remaja.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak buang air kecil lebih 8 jam antara petanda alahan tidak normal, boleh jejas nyawa ibu hamil

BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU

Namun, satu kajian antarabangsa mendapati bahaya bayi yang tidur malam bersama bapa menunjukkan corak tidur dan tumbesaran yang lebih baik berbanding bersama si ibu.

Bayi lebih tenang jika tidur di samping bapa berbanding ibunya. — Gambar hiasan/Agensi

Kurangkan sindrom SIDS

Pakar Pediatrik Australia, Dr. Golly menegaskan langkah itu mampu mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) dan memberi manfaat besar kepada kesejahteraan ibu bapa khususnya ibu yang menyusu.

Penempatan katil bayi di sebelah bapa didapati lebih berkesan dalam menyokong corak tidur bayi dan memanjangkan tempoh rehat si ibu.

"Satu faktor yang sering diabaikan ialah bau susu ibu yang boleh mencetuskan keinginan bayi untuk menyusu walaupun mereka tidak lapar," katanya.

Bayi lebih tenang

Selain daripada gangguan bunyi dan pergerakan, faktor lain seperti lampin basah, kembung perut dan kesejukan juga boleh menyebabkan bayi terjaga pada waktu malam.

Dalam situasi ini, bapa boleh memainkan peranan penting dalam menenangkan bayi terlebih dahulu tanpa perlu terus memberikan susu.

"Apabila bapa menjadi orang pertama yang mendukung atau menenangkan bayi, mesej ataupun bahasa tubuh yang difahami bayi adalah untuk terus tidur dan tidak meminta susu.

"Situasi itu boleh membantu bayi belajar untuk lebih bertenang dan tidak meragam jika terjaga di malam hari," ujarnya.

Kesihatan ibu menyusu

Kajian dijalankan turut menyentuh aspek penting kesihatan ibu menyusu kerana tekanan dan keletihan dikenal pasti sebagai dua faktor utama yang boleh menjejaskan kualiti susu ibu.

Oleh itu, menyediakan masa rehat yang mencukupi pada waktu malam amat penting untuk mengekalkan bekalan yang stabil.

“Tidur, rangsangan dan hidrasi adalah kunci kepada penyusuan yang berjaya, memberi peluang kepada ibu untuk berehat dengan lebih baik boleh memberi impak besar dalam tempoh penyusuan," ujarnya.

Justeru, penempatan bayi ketika tidur bukan hanya soal keselesaan, tetapi juga strategi bijak dalam menjaga kesihatan mental dan fizikal ibu bapa khususnya ibu menyusu.

Memberi ruang kepada bapa untuk memainkan peranan aktif dalam rutin malam si bayi, ibu berpeluang untuk membaik pulih tenaga manakala bayi pula belajar menyesuaikan diri dengan corak tidur yang lebih stabil.

Pendekatan itu membuktikan bahawa nilai keibubapaan adalah usaha bersama dan keseimbangan masa menjadi kunci kepada pengalaman yang lebih tenang dan bermakna buat seisi keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram