Budaya pamer kemewahan cetus 'money dysmorphia', asbab golongan muda alami krisis identiti kewangan


  • Maya
  • Ahad, 08 Jun 2025

Generasi muda kini semakin dibuai dengan trend 'Money Dysmorphia' yang berisiko tinggi menjejaskan status kewangan individu. — Gambar hiasan

FENOMENA 'money dysmorphia' yang semakin menular dalam kalangan generasi muda berisiko tinggi mendorong individu mempunyai persepsi tidak realistik tentang kedudukan kewangan diri sendiri.

Menurut Prof Madya Dr Sara Chinnasamy dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, budaya mempamerkan kekayaan secara terbuka itu memberi tekanan kepada generasi muda untuk tampil bergaya dan berjaya, walaupun tidak berkemampuan.

"Secara mudah, budaya 'flex' bermaksud mempamerkan kejayaan secara terbuka dan harta benda yang mewah tanpa rasa rendah diri, sama ada di media sosial atau secara peribadi.

BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara beban kerja berlebihan memakan diri, Wani Kayrie reda sambut raya di hospital

"Ramai belia hari ini terlampau mengejar gaya hidup luar biasa seperti yang mereka lihat di media sosial, tetapi hakikatnya gaya hidup sebegitu tidak sesuai untuk kebanyakan orang," katanya.

Generasi muda zaman kini gemar berkongsi kemewahan dan gaya hidup di laman sosial.  Gambar hiasan

Laporan Bank Negara Malaysia pada 2021 menunjukkan bahawa 40 peratus daripada golongan milenium berbelanja di luar kemampuan mereka, manakala 47 peratus menanggung hutang kad kredit yang tinggi.

Kajian itu membuktikan bahawa tekanan gaya hidup berpotensi besar memburukkan kestabilan kewangan belia.

Dr Sara, seorang penganalisis media politik dan sosial, turut menyatakan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam mendorong isu berbangkit.

Jelasnya, platform seperti Instagram dan TikTok telah menjadi ruang di mana pencipta kandungan sosial kerap mempamerkan gaya hidup mewah daripada percutian hingga ke barangan berjenama, sekali gus mencetuskan perbandingan yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

"Pendedahan berterusan ini boleh merosakkan, terutama dalam kalangan generasi muda yang masih membentuk identiti kewangan mereka," katanya.

"Melihat rakan sebaya kelihatan berjaya dari segi kewangan boleh membawa kepada perasaan tidak cukup bagus atau kegagalan diri.

"Ramai tidak sedar bahawa apa yang ditonton mereka mungkin disokong oleh tajaan jenama tertentu namun kesan emosi yang dialami sangat nyata," tambahnya.

Tambahnya, trend itu turut dikaitkan dengan peningkatan hutang dan kebimbangan kewangan dalam kalangan belia.

Segelintir individu gemar berbelanja secara berlebihan demi menonjolkan gaya hidup tertentu, walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang berat.

"Malangnya, ramai terperangkap dalam ilusi kehidupan mewah seperti makan di restoran mahal dan membeli barangan berjenama, semuanya demi membina imej yang tidak sejajar dengan kedudukan kewangan sebenar," ujarnya.

Dr Sara dalam masa sama menasihati belia agar lebih bijak dalam membuat keputusan kewangan dan tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang tidak mencerminkan realiti.

"Adalah penting untuk kita ingat bahawa apa yang dilihat di media sosial tidak selalu mencerminkan kebenaran.

"Apabila mengurus kewangan sendiri, penilaian yang rasional perlu menjadi keutamaan," ujarnya.

Fenomena 'money dysmorphia' ini membuktikan bahawa impak budaya digital bukan hanya dalam bentuk sosial dan psikologi, tetapi juga berupaya mengganggu kesejahteraan kewangan generasi akan datang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram