
BAYI mewarisi jenis darah berbeza daripada ibunya, khususnya dalam kes ketidakserasian kumpulan darah ABO, berisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan.
Antara risiko paling ketara boleh dihadapi ialah penyakit jaundis, anemia dan sistem imun yang lemah sejurus selepas kelahiran, menurut kajian antarabangsa.
Hal itu terjadi apabila bayi yang memiliki darah jenis A, B atau AB dilahirkan oleh ibu yang mempunyai darah jenis O.
BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara beban kerja berlebihan memakan diri, Wani Kayrie reda sambut raya di hospital
Ia sekali gus mengakibatkan tindak balas imun dalam tubuh bayi apabila antibodi ibu menyerang sel darah merah bayi sebagai tindak balas pertahanan badan, mengakibatkan kerosakan sel darah serta simptom kesihatan.
Tumbesaran dan perkembangan bayi banyak bergantung kepada kesihatan ibu. — Gambar hiasan/Agensi
Pun begitu, tiada kajian membuktikan punca sebenar kejadian itu boleh berlaku bahkan, ia disifatkan sebagai faktor genetik dan semula jadi daripada pertalian darah ibu bapa.
Namun, ia boleh dikenal pasti melalui ujian darah ibu bapa semasa kehamilan dan langkah rawatan yang sesuai dapat diambil jika dikesan lebih awal.
Hangat diperkatakan di laman Threads kebelakangan ini, rata-rata warga maya meluahkan kerisauan berkaitan isu tersebut terutamanya golongan wanita hamil.
"Kedua-dua anak saya kena kuning lebih sebulan sebab saya darah O, so doctor pun just advice kerapkan susu sahaja, normal kes for mak darah O katanya," ujar jazrinnaem.
"Rasa nak tukar darah, anak pertama pun kena jaundis, bacaan smpai 300+ tapi tak pernah warded balik, faham mungkin antibodi anak tak sama, tapi itu lah penatnya rasa," kata nrsyznialiah.
Dalam pada itu, Pakar Pediatrik dan Penjagaan Neonatal di Pusat Perubatan Kanak-kanak Dallas, Amerika Syarikat (AS), Jessica Morse menyatakan bayi dengan genetik darah ABO cenderung untuk mengalami jaundis lebih serius.
"Reaksi terhadap ketidakserasian ABO selalunya hanya dikesan selepas kelahiran, apabila antibodi dalam tubuh ibu merentasi plasenta dan menyerang sel darah merah bayi.
"Dalam kes ini, sistem imun ibu menghasilkan antibodi yang menyerang sel darah bayi, menyebabkan jaundis yang lebih ketara dan berpanjangan.
"Kebiasaannya pihak hospital akan menempatkan bayi di unit neonatal untuk rawatan awal dengan fototerapi dan dalam kes yang lebih serius, suntikan IVIG atau pemindahan darah mungkin diperlukan," ujarnya.
Jelasnya, ibu bapa dinasihatkan untuk peka dengan petanda jaundis seperti kulit dan mata yang kekuningan, bayi yang kerap mengantuk, enggan menyusu dan penambahan berat badan yang perlahan.
Sebagai rawatan alternatif, bayi boleh diletakkan di dalam bilik yang terang dan hangat di bawah cahaya semula jadi matahari selama tempoh satu hingga dua jam sehari.
Penyusuan yang kerap juga digalakkan kerana ia membantu meningkatkan pergerakan usus bayi, dan mempercepatkan proses penyingkiran bilirubin dari badan.
Tegasnya, ibu menyusu tidak perlu menambah susu formula atau memberikan air kepada bayi melainkan atas nasihat doktor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram