'TRoom' bantu rawat sensori, tumbesaran kanak-kanak, pertama di Asia Tenggara


  • Maya
  • Rabu, 28 Mei 2025

TRoom menawarkan fasiliti moden yang membantu sensori dan deria si kecil.

PENINGKATAN kes kanak-kanak autisme, speech delay dan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) kebelakangan ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.

Golongan ibu bapa khususnya antara yang paling lantang bersuara berhubung hal itu ekoran isu berkenaan yang bagaikan 'sumpahan' di era zaman sekarang.

Tidak dinafikan, penggunaan gajet tanpa batasan antara faktor utama kes sedemikian semakin mencatatkan peningkatan dalam negara.

BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna

BACA LAGI: Kena marah, dimalukan, anak simpan memori pahit sebagai satu bentuk ancaman, jadi 'parut' apabila dewasa

Pelbagai alternatif dan rawatan dijalankan pakar perubatan dan medikasi sedunia dalam membantu tumbesaran individu dengan spektrum sedemikian bermula dari peringkat kecil.

Sunway Medical Centre antara yang tampil unik dan kreatif mencipta inovasi rawatan dan terapi kanak-kanak golongan berkenaan.

TRoom berperanan sebagai sebuah modul moden membantu sensori dan pemahaman kanak-kanak.

Pertama di Asia Tenggara, fasiliti 'TRoom' menyediakan penjagaan kesihatan secara moden di samping kemudahan yang diyakini mampu membaik pulih masalah dihadapi golongan autisme.

Berupaya merangsang deria dan menilai prestasi pembelajaran si kecil, hospital kuaternari swasta terbesar negara itu sentiasa meneroka cara baharu dan inovatif untuk memberi perkhidmatan terbaik buat pesakit.

Terapis jurupulih cara kerja (occupational therapist), Syafiqah, 38, optimis deria dan sensori pesakit kanak-kanaknya mampu dirawat menerusi fasiliti tersebut.

"Bilik ini merupakan TRoom khas menawarkan simulasi sensori pertama di Asia Tenggara meliputi pelbagai aspek seperti cahaya, bunyi, getaran dan dinding interaktif, tea wall dan tea sensor. 

"Di sini juga memfokuskan pada kanak-kanak memerlukan perhatian khusus antaranya pembentukan terapi lambat bercakap, mengalami masalah sensori (hyper atau hyposensory) sejak kecil.

"Sekarang ini banyak kes autisme, ADHD, hyperactive jadi biasanya mereka ada masalah untuk fokus, bersosial dengan orang sekeliling, berkomunikasi dan deria sentuhan. 

"Jadi kami akan bantu berikan terapi lebih pada kaedah bermain memandang kanak-kanak suka bermain," katanya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Majoriti.

Syafiqah menyatakan fasiliti TRoom bantu rawat deria dan sensori pesakit.

Dalam pada itu, Syafiqah turut menekankan kepentingan untuk kanak-kanak autisme menjalani rawatan terapi sebagai langkah merawat dari peringkat awal.

Simptom speech delay misalnya antara paling utama dan sangat memerlukan pantauan dan bantuan daripada terapi terlatih.

"Speech delay dan sindrom Down kemahiran sosial tidak berapa baik, maka kami turut menawarkan sesi terapi secara individu dan berkumpulan.

"Biasanya kami buat penilaian dulu, uji masalah dan isu dihadapi. Dari situ dapat tentukan jenis rawatan bersesuaian perlu dilakukan.

"Bermula dari usia baru lahir hingga 17 tahun, semua boleh dirawat jika diberikan rawatan sesuai dengan kaedah bersesuaian," ujarnya.

Boleh diprogramkan untuk mencipta pengalaman yang mendalam dan realistik, sistem canggih TRoom mewujudkan persekitaran menenangkan, sekali gus membantu perkembangan tumbesaran pesakit ke arah normal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram