Elak bengkak susu, pakar kongsi 5 tip hasil perahan lebih berkesan, perlu lakukan 'breast maintenance'


  • Bonda
  • Isnin, 09 Jun 2025

Ibu menyusu perlu sentiasa peka tentang rutin serta jadual mengepam demi mendapatkan hasil perahan yang berkualiti.. — Gambar hiasan

ISU bengkak susu merupakan perkara tidak asing dalam kalangan wanita menyusu terutamanya yang kali pertama bergelar ibu.

Situasi mengalami bengkak susu seharusnya dititikberatkan para wanita menerusi tip dan penjagaan rapi sepanjang proses penyusuan dijalankan. Jangan ambil mudah kerana bimbang risikonya boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan serius.

Bahkan, kualiti hasil perahan juga mampu ditingkatkan dengan kaedah bertepatan yang banyak mempengaruhi tumbesaran si bayi.

BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara beban kerja berlebihan memakan diri, Wani Kayrie reda sambut raya di hospital

Menurut Pakar Kaunselor Laktasi, Nur Syuhada Thobari, langkah pertama perlu dilakukan adalah mengenal pasti punca dan keperluan sebenar sebelum membuat sebarang perubahan terhadap rutin mengepam.

Berikut merupakan lima tip dikongsikan di laman Threads, menurutnya boleh meningkatkan hasil perahan dan elak daripada bengkak susu.

Bengkak susu boleh dielakkan dengan cara dan rutin mengepam yang rapi. — Gambar hiasan

1. Lakukan urutan laktasi dan 'clogged duct release'

Saluran susu tersumbat boleh berlaku akibat penggunaan payudara yang berterusan tanpa penyelenggaraan.

Menurut kajian antarabangsa, perkara itu menyebabkan ketulan padat seperti bengkak yang boleh mengakibatkan keradangan kepada individu.

Tanda-tanda awal

- Ketulan kecil dan pejal pada payudara yang terasa sakit.

- Sakit setempat yang mungkin bertambah teruk semasa menyusu atau mengepam.

- Rasa berat di satu bahagian payudara.

- Kemerahan atau keradangan pada saluran yang terjejas.

- Aliran susu yang lebih perlahan atau kuantiti semakin berkurangan daripada kebiasaan.

Jika tidak dirawat, saluran susu yang tersumbat boleh menyebabkan jangkitan payudara serius dan kesukaran penyusuan untuk tempoh jangka masa panjang.

Justeru, Syuhadai mensarankan untuk membuat pemeriksaan berkala breast maintenance bersama pakar setiap enam bulan, sama ada melalui kaunselor penyusuan atau ke pusat khas tersedia serata negara.

2. Periksa pam susu dan saiz sambungan 'flange'

Kadangkala hasil perahan menurun berpunca daripada pam yang sudah rosak atau saiz flange tidak sesuai.

Komponen pam perlu ditukar setiap enam bulan atau lebih awal sekiranya didapati rosak.

Saiz flange pula perlu diperiksa secara berkala:

- Dua hingga tiga minggu sekali dalam tempoh tiga bulan pertama.

- Dua hingga tiga bulan sekali selepas.

setiap kali rasa sakit atau tidak selesa.

3. Semak semula jadual mengepam di tempat kerja

Tidak dinafikan, kesibukan kerja seharian boleh mempengaruhi jadual mengepam yang tidak konsisten dan menjejaskan hasil perahan.

Namun, ibu menyusu disarankan untuk mengepam setiap dua hingga tiga jam bagi mengelakkan bengkak susu.

Jenis pam 'manual' dan elektronik perlu dimanfaatkan sepenuhnya mengikut situasi sebagai contoh, seorang guru boleh memakai hands-free cup sebelum waktu mengajar dan hanya perlu menekan butang pam elektronik ketika tiba waktu mengepam.

4. Optimum penyusuan waktu malam

Perlu diketahui bahawa ada kumpulan bayi yang tidur terlampau lama dan enggan menyusu di malam hari.

Namun, sekiranya bayi tidak menyusu lebih daripada tiga jam, ibu disarankan bangun dan mengepam bagi memastikan penghasilan susu tidak menurun.

5. Kaedah 'power pumping'

Kaedah power pumping menjadi solusi terbaik dan boleh dilakukan sekali sehari terutamanya pada waktu pagi.

Langkah-langkah power pumping:

Lakukan kaedah itu secara konsisten selama dua minggu seperti kitaran berikut: (20 minit pam, 10 minit rehat, 10 minit pam).

Namun, jika ibu mula rasa penat dan stres, elakkan kaedah tersebut, sebaliknya fokus pada rutin mengepam setiap dua hingga tiga jam dengan konsisten, kerana tekanan emosi juga boleh menjejaskan hasil pengeluaran susu.

Justeru, kunci kejayaan dalam penyusuan bukan sekadar terletak pada teknik, tetapi faktor kesabaran, konsistensi dan pengurusan masa yang baik menjadi penyumbang terbesar dalam hal berkenaan.

Kesimpulannya, kenal pasti keperluan sebenar, fahami corak penyusuan sendiri dan bertindak berdasarkan perubahan yang berlaku.

Dengan ilmu yang betul, sokongan berterusan serta sedikit kesabaran dan disiplin, ibu-ibu boleh mengelakkan masalah seperti bengkak susu dan dalam masa sama memastikan bekalan kekal mencukupi untuk keperluan si kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram