
RAMAI ibu hamil menyangka bahawa alahan mengandung seperti pening dan muntah merupakan antara simptom alahan biasa awal kehamilan, terutamanya pada trimester pertama.
Namun, menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Faizan Irdawaty, sebahagian daripadanya boleh menjadi petanda alahan yang tidak normal dan boleh mendatangkan risiko kesihatan serius kepada ibu serta kandungan bayi.
Tampil memberi penerangan penting berkaitan alahan berbahaya ketika mengandung, berikut merupakan simptom awal boleh dikenal pasti dalam tempoh awal hingga 14 minggu pertama.
BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara beban kerja berlebihan memakan diri, Wani Kayrie reda sambut raya di hospital
1. Muntah berterusan 24 jam
Antara tanda awal perlu diawasi ialah muntah berterusan selama tempoh 24 jam sehingga si ibu tidak mampu makan atau minum.
Keadaan ini boleh menyebabkan dehidrasi teruk, dikenal pasti sebagai alahan yang sering kali diabaikan golongan ibu hamil di luar sana.
"Kalau anda asyik muntah-muntah berterusan dalam masa 24 jam sampai tak boleh nak makan minum itulah satu petanda yang tidak baik dan badan kita boleh terdedah kepada dehydrasi teruk," katanya menerusi perkongsian di TikTok baru-baru ini.
2. Tidak buang air kecil lebih lapan jam
Individu yang tidak membuang air kecil selama lebih lapan jam boleh mengakibatkan air kencingnya bertukar pekat seperti teh dan lebih parah apabila ia bercampur darah.
"Kalau rasa sakit semasa buang air kecil atau air kencing berwarna sangat gelap, itu sudah satu petanda bahaya, jangan tunggu lama untuk ke hospital," jelasnya.
3. Sindrom Mallory-Weiss
Tambahnya, muntah teruk juga boleh mengakibatkan sindrom Mallory-Weiss, iaitu kecederaan pada saluran esofagus akibat muntah berulang, yang boleh menyebabkan muntah berdarah.
Keadaan itu memerlukan kaedah perubatan pakar dengan kadar segera kerana dibimbangi boleh merebak ke anggota tubuh lain.
Dalam sesetengah kes, ibu hamil boleh mengalami gastrik akibat perut kosong dan kehilangan banyak cecair badan dengan kesemuanya menandakan tahap dehidrasi yang serius.
4. Hyperemesis Gravidarum
Dr. Faizan turut menekankan perbezaan antara alahan biasa dengan simptom Hyperemesis Gravidarum, satu situasi apabila ibu hamil mengalami loya dan muntah yang melampau sehingga menyebabkan penurunan berat badan drastik.
Bahkan, sesetengah kes menurutnya boleh mengakibatkan gangguan fungsi organ dalaman seperti buah pinggang.
"Rawatannya bukan sekadar cuba minum air di rumah. Anda mungkin perlukan rawatan hospital seperti pemasangan drip untuk rehidrasi dan pemeriksaan darah bagi menilai keseimbangan garam mineral dalam badan," katanya.
Beliau pada masa sama berpesan kepada orang ramai, khususnya ibu hamil agar lebih peka terhadap tanda-tanda tersebut dan tidak menganggapnya sebagai normal dalam kehamilan.
Alahan mengandung sememangnya satu cabaran biasa bagi kebanyakan wanita hamil, namun penting untuk membezakan antara gejala normal dan tanda-tanda bahaya yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Pendedahan awal terhadap simptom seperti muntah berpanjangan, dehidrasi, penurunan berat badan mendadak atau rasa ingin pitam boleh menyelamatkan nyawa dan menjamin kesihatan ibu serta bayi dalam kandungan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram