Latihan dulu, latih tubi kemudian, kaedah tepat bantu anak kuasai matematik


  • Bonda
  • Khamis, 12 Jun 2025

Penting untuk ibu bapa membezakan antara pendekatan latihan dan latih tubi dalam subjek Matematik. — Gambar hiasan

KEBANYAKAN ibu bapa percaya untuk menjadikan anak mahir dalam subjek Matematik, mereka perlu didedahkan dengan banyak latihan. 

Namun, menurut perkongsian Pakar Motivasi Pendidikan, Fauziah Sirat, adalah penting untuk membezakan antara dua pendekatan utama dalam pembelajaran Matematik iaitu latihan dan latih tubi.

Menurutnya, latihan merujuk pada aktiviti berasaskan masalah yang membolehkan anak mencuba pelbagai strategi penyelesaian secara fleksibel dan bermakna. 

BACA LAGI: 'Tak pandai ilmu hisab', gesa silibus sekolah rendah dikaji semula susulan ramai calon gagal Matematik SPM 2024

BACA LAGI: Pelajar lebih mudah kuasai Matematik dan Sains dengan cara buka ruang kreativiti, inovasi

Fauziah menjelaskan, latihan perlu diberikan dahulu untuk membina kefahaman. — Facebook/Atikah Adom 

"Sebaliknya, latih tubi digunakan apabila anak sudah memahami strategi yang betul dan hanya perlu mengukuhkan kemahiran tersebut agar menjadi automatik serta pantas. 

"Ia biasanya melibatkan pengulangan yang tidak bersandarkan pada konteks masalah sebenar.

"Latih tubi juga digunakan apabila anak sudah tahu dan faham strategi yang digunakan," katanya menerusi hantaran di aplikasi Thread baru-baru ini

Fauziah menjelaskan, latihan perlu diberikan dahulu untuk membina kefahaman. 

Tambahnya, latih tubi hanya dimulakan apabila anak sudah mampu mencongak atau menunjukkan kefasihan awal dalam strategi tertentu.

Pendekatan yang betul bukan sahaja membantu anak memahami konsep matematik secara mendalam, malah membina keyakinan dan minat terhadap subjek yang sering dianggap mencabar itu.

Kaedah tersebut turut disokong oleh kebanyakan guru dan penyelidik matematik di Malaysia serta antarabangsa.

Satu kajian oleh seorang pensyarah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menunjukkan guru Matematik di Malaysia semakin menekankan penyelesaian dalam pengajaran mereka.

Mereka bukan sahaja menilai jawapan akhir, tetapi juga meneliti proses pemikiran pelajar.

Konsep pengajaran melalui penyelesaian masalah juga diterima secara meluas di New Zealand dan oleh ramai penyelidik pedagogi. 

Struktur pengajaran tersebut termasuk kaedah Launch–Explore–Summarise–Consolidate, yang selari dengan model latihan terlebih dahulu sebelum laluan kemahiran.

Kaedah tersebut merupakan satu pendekatan pengajaran matematik yang menekankan pembelajaran berasaskan pemahaman dan penerokaan, bukan sekadar hafalan atau latih tubi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram