[VIDEO] Mek Yun dedah jadi mangsa geng 'pedo', foto zaman sekolah dikongsi dalam Facebook Group Budak Sekolah Rendah


  • Massa
  • Rabu, 11 Jun 2025

Mek Yun (kanan) menyelar tindakan laman Facebook tersebut yang disifatkan jijik dan tidak berperikemanusiaan kerana memaparkan antara kandungan tidak bermoral.

ORANG ramai menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap pemilik grup Facebook bernama Group Budak2 Sekolah Rendah yang didakwa berkongsi kandungan melibatkan pelajar bawah umur berserta komen berbaur lucah.

Grup tersebut yang memiliki lebih 12,000 pengikut dipercayai menjadi tempat penyebaran kandungan eksploitasi kanak-kanak secara terbuka, sekali gus mencetuskan kemarahan warga maya.

Isu itu turut mendapat perhatian personaliti, Caprice yang mendedahkan perkara berkenaan menerusi laman Instagram miliknya.

BACA LAGI: Mengaku tak salah, pengetua didakwa amang seksual pelajar perempuan usia 16 tahun di Marang

BACA LAGI: Siasatan dakwaan guru pedofilia MRSM Tumpat perlu masa sebulan — Polis Kelantan

Menurut aktivis media sosial itu, beliau telah membuat laporan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan grup berkenaan.

Admin serah diri dekat balai dalam masa 48 jam. Cap tak dedahkan muka-muka ahli dalam grup tu termasuk muka admin. Ingat kita tak boleh jejak ke?” tegasnya.

Pada masa sama, pempengaruh terkenal, Mek Yun turut meluahkan rasa marah dan kecewa apabila gambar lamanya sewaktu zaman persekolahan digunakan dalam grup berkenaan tanpa kebenaran.

Menerusi satu video dimuat naik di Instagram miliknya, Mek Yun menyifatkan tindakan tersebut sebagai jijik dan tidak berperikemanusiaan.

“Hari ni ramai yang DM (direct message) Mek Yun beritahu gambar Mek Yun masa sekolah digunakan dalam satu grup Facebook ini dan komen-komen dekat semua gambar budak sekolah ini sangat menjijikkan,” katanya.

Antara komen berbaur lucah yang ditulis oleh salah seorang pengikut Facebook tersebut.

Beliau turut menyeru agar semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi segera mengambil tindakan bagi melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa penyalahgunaan gambar di platform digital.

“Ini bukan lawak atau suka-suka. Ia salah, ini jenayah,” tegasnya sambil memohon orang ramai untuk turut membuat laporan terhadap grup tersebut bagi menghentikan penyebaran kandungan tidak bermoral itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menasihatkan ibu bapa agar tidak berkongsi wajah anak di media sosial bagi mengelakkan isu penyalahgunaan.

"Mak ayah yang ada anak-anak tidak kira lelaki, perempuan simpanlah elok-elok. Nak muat naik gambar boleh, tapi cukup buat simpanan sendiri, jadikan privasi.

"Sebab ramai sekarang sakit jiwa walau nampak normal, gilanya langsung tak nampak. Selain penyakit ain, gambar anak-anak ini akan disabotaj, dimuat naik ke media sosial serupa ini lah," tulis Nuha Aqeela.

Untuk rekod, semakan di Facebook mendapati grup tersebut kini sudah tidak boleh diakses orang awam.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut.

Impak kepada mangsa boleh melibatkan kesan fizikal dan psikologi termasuk trauma berpanjangan.

Pedofilia merujuk kepada individu dewasa yang mempunyai tarikan seksual secara berterusan atau berulang terhadap kanak-kanak pra remaja, biasanya berumur di bawah 13 tahun.

Tarikan itu boleh wujud tanpa perbuatan fizikal, tetapi ada juga yang bertindak melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Pedofilia terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada lelaki atau wanita dan boleh datang daripada pelbagai kelas sosial, kaum dan status ekonomi.

Impak kepada mangsa boleh melibatkan kesan fizikal dan psikologi termasuk, trauma berpanjangan, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), kemurungan, rasa malu dan hilang keyakinan diri.

Di Malaysia, perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram