
PENAMPILAN anak-anak sering menjadi keutamaan bagi ibu bapa, bukan sahaja sebagai cerminan rasa sayang dan kebanggaan, malah sebahagian daripada didikan sejak kecil.
Memastikan mereka kelihatan kemas, comel dan bergaya bukanlah semata-mata soal estetika, tetapi juga berkait rapat dengan pembentukan disiplin dan keyakinan diri.
Seperti dikongsikan seorang pengguna aplikasi Thread, pemilik akaun dengan nama aniskhalidi itu memberitahu, ibunya begitu menitikberatkan soal penampilannya sejak kecil.
BACA LAGI: Bukan ibu saja bergaya, anak-anak selebriti pun sama melaram, bertukar-tukar baju raya
Kini, pendekatan itu diteruskan pula kepada cucu-cucunya.
“Sebelum kalian cakap janganlah menilai ibu bapa yang beri pakaian lusuh kepada anak, ibu saya dah buat penilaian dulu,” tulisnya menerusi satu hantaran di aplikasi Thread baru-baru ini.
Beliau turut berkongsi lima tip diamalkan ibunya dalam mendidik anak dan cucu berpakaian kemas serta sesuai:
1) Ikut situasi
Anak-anak seawal usia 2 hingga 3 tahun sudah diajar tentang pakaian mengikut jenis majlis atau situasi.
Perbualan dan penerangan tentang pemilihan pakaian sudah dimulakan sejak kecil supaya mereka faham konteks berpakaian.
2) Pakaian cantik bukan hanya untuk majlis
Gaun atau kemeja bukan hanya untuk kenduri atau sambutan khas, sebaliknya dibiasakan dipakai di rumah.
Ibu kepada wanita itu percaya anak-anak perlu biasa kelihatan kemas dan bergaya walaupun hanya di dalam rumah.
Kanak-kanak cenderung memilih pakaian yang sudah tersedia. — Gambar hiasan
3) Buang baju lusuh
Pakaian yang sudah lusuh akan terus dibuang bagi mengelakkan ia kekal menjadi pilihan anak.
Ia kerana kanak-kanak cenderung memilih daripada pakaian tersedia. Jika hanya pakaian elok yang tersedia, itulah akan mereka pakai.
4) Pakaian ganti mesti sepadan
Apabila keluar rumah, pakaian ganti yang dibawa perlu seiring dengan gaya pakaian asal.
Jika anak memakai gaun ke kenduri, berjalan di pusat beli-belah, pakaian ganti juga perlu gaun, bukan baju tidur atau baju rumah.
Kecuali jika bermalam di rumah saudara, barulah pakaian tidur dibawa.
5) Bersiap walau ke rumah datuk nenek
Jika cucu datang melawat balik hari, mereka tetap perlu berpakaian kemas.
Ibunya bertegas bahawa cucu juga datang sebagai tetamu dan harus menunjukkan adab serta rasa hormat melalui penampilan.
Wanita tersebut mengakui, bukan semua ibu bapa mempunyai pendekatan yang sama, namun beliau percaya didikan seperti itu membentuk anak-anak yang terbiasa dengan pakaian kemas dan tidak rimas memakai pakaian dressy.
“Setakat ini saya tengok semua cucu tiada masalah pakai pakaian cantik sepanjang hari.
"Tiada rungutan panas atau tak selesa sebab mereka dah terbiasa. Kalau tak dibiasakan, memang susah anak nak tahan pakai baju lace atau kemeja,” jelasnya.
Beliau menambah, amalan itu juga membuatkan si kecil bakal memiliki foto zaman kanak-kanak yang sentiasa on point. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram